GEORGE TOWN 8 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited memastikan kesemua 28 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri itu memperoleh hak milik tanah sebagai usaha memperkukuh kemudahan serta pembangunan pendidikan masyarakat India.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat Jun lalu, lima tapak tanah telah diperoleh bagi lima sekolah, manakala lima lagi disasarkan untuk diselesaikan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Beliau berkata antara inisiatif yang dilaksanakan ialah penyediaan tapak seluas 0.95 hektar bagi projek pemindahan SJKT Rajaji di Air Itam.
Menurutnya, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan pendidikan Tamil melalui peningkatan kemahiran digital serta pendedahan lebih meluas kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Bagi tujuan itu, sebanyak RM2.42 juta diperuntukkan untuk pembangunan pendidikan sekolah Tamil di Pulau Pinang. Daripada jumlah tersebut, RM1.34 juta disalurkan menerusi Majlis Pendidikan Negeri Pulau Pinang (PEC) pada April bagi memperkukuh infrastruktur digital dan kemahiran STEM.
Chow berkata, sebanyak RM768,901 daripada peruntukan berkenaan diberikan kepada 28 SJKT melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan pembelajaran.
Selain itu, RM194,400 diperuntukkan kepada 11 tadika di SJKT bagi menyokong pembangunan pendidikan awal kanak-kanak.
-Advertisement-
Beliau berkata demikian menerusi perutusan sempena sambutan Deepavali 2026, sambil menegaskan bahawa pembangunan pendidikan perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara bahasa dan budaya masyarakat Tamil.
Antara usaha yang dilaksanakan termasuk inisiatif Kelas Bahasa Tamil Percuma oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Pasar, yang diharap dapat diperluas bagi memastikan warisan bahasa dan budaya terus diwarisi generasi muda.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan sektor swasta bagi memperluas peluang pembangunan inklusif menerusi Belanjawan 2027.
Usaha itu turut merangkumi sokongan melalui TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), khususnya bagi membantu usahawan kecil serta golongan belia berketurunan India.
Chow berkata pembangunan yang bermakna perlu membuka lebih banyak peluang, meningkatkan kesejahteraan dan memastikan setiap komuniti dapat menikmati manfaat kemajuan negeri.
Beliau turut berharap sambutan Deepavali tahun ini dapat menyemarakkan semangat muhibah serta memperkukuh perpaduan masyarakat demi masa depan Pulau Pinang yang lebih baik. – The Capital Post