BEIJING 8 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Organisasi media dari seluruh dunia menyatakan komitmen untuk memperluas akses kepada kecerdasan buatan (AI), memperjuangkan kewartawanan bertanggungjawab serta memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam membentuk tadbir urus komunikasi global yang sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.
Komitmen itu dimeterai menerusi Konsensus Beijing yang diterima pakai selepas perbincangan antara wakil organisasi media arus perdana, badan pemikir, agensi kerajaan dan organisasi antarabangsa pada Sidang Kemuncak Media Dunia (WMS) Edisi Ketujuh yang berakhir hari ini.
Dokumen berkenaan menggariskan beberapa keutamaan industri media global ketika AI semakin mempengaruhi landskap komunikasi, termasuk memastikan kemajuan teknologi dapat dimanfaatkan oleh organisasi media tanpa mengira tahap pembangunan negara masing-masing.
Konsensus itu turut menegaskan kepentingan mempertahankan prinsip objektiviti dan kesaksamaan, menolak penyebaran maklumat palsu serta laporan tidak tepat, selain menggalakkan dialog rasional bagi menangani cabaran global.
Sidang kemuncak tersebut turut disertai wakil organisasi media Malaysia, antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan The Borneo Post yang terlibat dalam proses pemuktamadan konsensus berkenaan.
Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarangnya, Arul Rajoo Durar Raj turut menyertai sidang kemuncak serta perbincangan tersebut.
Konsensus Beijing mengiktiraf AI sebagai pemacu utama revolusi teknologi dan transformasi perindustrian yang telah mengubah landskap pembangunan global, termasuk cara organisasi media beroperasi, menghasilkan kandungan serta menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Selain itu, organisasi media digalakkan memanfaatkan teknologi komunikasi pintar bagi memperluas pertukaran dan kerjasama antarabangsa melalui pelaporan bersama, perkongsian teknikal serta interaksi lebih meluas antara masyarakat.
-Advertisement-
Dokumen itu turut mengiktiraf kepelbagaian pendekatan pembangunan setiap negara, termasuk peluang yang ditawarkan menerusi pemodenan China dalam bidang tadbir urus bandar raya mega, pemeliharaan warisan budaya serta inovasi sains dan teknologi.
Antara cabaran utama yang diketengahkan ialah memastikan penggunaan AI tidak memperbesar jurang teknologi, menjejaskan kepercayaan masyarakat atau melemahkan peranan media sebagai platform perbincangan awam berasaskan fakta.
Sehubungan itu, kerjasama antarabangsa dilihat penting bagi memastikan manfaat AI dapat dinikmati oleh semua organisasi media, termasuk yang mempunyai keterbatasan dari segi kewangan, infrastruktur dan kepakaran teknikal.
Konsensus berkenaan turut mengingatkan bahawa media perlu terus melaksanakan tanggungjawab asas dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berwibawa dan seimbang, di samping mempertahankan kepercayaan masyarakat dalam persekitaran maklumat yang semakin kompleks.
Sidang kemuncak anjuran bersama Agensi Berita Xinhua dan Kerajaan Perbandaran Beijing itu menghimpunkan hampir 500 pengamal media serta pemain industri dengan tema “Media in the Intelligent Age: From Consensus to Action”.
Ditubuhkan pada 2009, WMS merupakan platform antarabangsa yang menghimpunkan organisasi media terkemuka termasuk Agensi Berita Xinhua, The Associated Press, Reuters, TASS dan Kyodo News bagi membincangkan isu serta menyelaraskan pandangan berkaitan perkembangan industri media global. – The Capital Post