Tribunal Benarkan Pampasan RM2,000 Dalam Kes GrabCar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA 8 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Tribunal Pekerja Gig memutuskan tiga kes pertikaian melibatkan pemandu e-hailing dan GrabCar Sdn Bhd, termasuk membenarkan tuntutan pampasan RM2,000 kepada seorang pemandu serta mengekalkan keputusan penyahaktifan akaun seorang lagi susulan salah laku terhadap penumpang.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan ketiga-tiga kes berkenaan merangkumi pertikaian tuntutan kewangan, pengendalian sistem platform digital dan tindakan penyahaktifan akaun pemandu. Kes tersebut didengar serta diputuskan oleh Timbalan Presiden tribunal, Dr Suzarika Sahak.

Bagi kes pertama, tribunal membenarkan sebahagian tuntutan kewangan seorang pemandu terhadap GrabCar berkaitan pendapatan daripada tempahan Saver serta insentif Cashback and Advance Booking.

Tribunal turut memerintahkan pembayaran ganti rugi RM2,000 berserta faedah lapan peratus setahun sehingga jumlah berkenaan dijelaskan sepenuhnya.

Menurut KESUMA, tribunal mendapati pengendalian fungsi Auto Accept dan Fast Cancel dalam sistem platform GrabCar melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), yang menjamin hak pekerja untuk mengetahui jenis perkhidmatan serta pendapatan yang dipersetujui sebelum menerima tugasan.

Kes kedua pula membabitkan tujuh tuntutan bukan kewangan seorang pemandu e-hailing terhadap GrabCar berkaitan pengendalian sistem dan operasi platform digital.

Tribunal mengenal pasti tiga pelanggaran Akta 872, iaitu berkaitan penghentian sementara tempahan, kuota pembatalan tempahan dan penggunaan sistem Auto Accept.

Bagi tindakan penghentian sementara tempahan, tribunal mendapati kegagalan platform menjelaskan syarat serta tempoh pelaksanaan tindakan itu melanggar Seksyen 8(1)(a) dan Seksyen 8(2)(a) serta (b) akta berkenaan.

Kegagalan memberikan penjelasan mengenai kaedah penetapan kuota pembatalan, kesan apabila kuota penuh serta pilihan pembatalan atas alasan munasabah turut dikenal pasti sebagai pelanggaran peruntukan undang-undang tersebut.

-Advertisement-

Selain itu, penggunaan sistem Auto Accept yang menyebabkan tempahan diterima sebelum pemandu mengetahui jenis perkhidmatan dan kadar pendapatan yang ditawarkan turut didapati melanggar Seksyen 8(1)(b) dan (c).

Bagi kedua-dua kes berkenaan, tribunal mengemukakan beberapa syor penambahbaikan kepada pihak platform di bawah Subseksyen 42(3) Akta 872. Antaranya termasuk memastikan maklumat perkhidmatan dan pendapatan diberikan sebelum tempahan diterima serta menyediakan tempoh pembatalan yang munasabah dan selamat.

Tribunal turut mengesyorkan supaya syarat penghentian sementara tempahan, peraturan kuota pembatalan, program insentif dan sekatan tempahan diperjelas, selain memperluas akses pemandu kepada khidmat bantuan serta menyediakan mekanisme semakan oleh manusia terhadap keputusan sistem automatik.

Sementara itu, bagi kes ketiga, tribunal memutuskan tindakan GrabCar menyahaktifkan akaun seorang pemandu secara kekal adalah wajar selepas tiga kejadian salah laku terhadap penumpang dibuktikan.

Kesalahan tersebut melibatkan perbualan tidak wajar, perlakuan yang boleh dianggap mengancam atau menakutkan serta pertanyaan peribadi yang tidak sesuai.

KESUMA memaklumkan tribunal menolak tuntutan pemandu berkenaan dengan mengambil kira kepentingan keselamatan dan kesejahteraan penumpang, meskipun tindakan penyahaktifan akaun itu memberi kesan terhadap sumber pendapatannya.

Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan menggambarkan pendekatan tribunal dalam mengimbangi perlindungan hak pekerja gig, keselamatan penumpang dan kepentingan pengendali platform e-hailing.

KESUMA turut menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pelaksanaan Akta 872 melalui tribunal berkenaan sebagai saluran penyelesaian pertikaian yang bebas, adil dan berkesan bagi membangunkan ekosistem ekonomi gig yang lebih telus, mampan serta bertanggungjawab. – The Capital Post