MELAKA 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin memperkenalkan inisiatif menyediakan slip semakan pengundi bersaiz kecil bagi membantu orang ramai mengenal pasti lokasi dan saluran mengundi masing-masing menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November ini.
Azman yang lebih dikenali sebagai Tok Man berkata beliau bersama jentera parti akan membantu pengundi membuat semakan ketika aktiviti kempen berlangsung. Maklumat yang diperoleh akan dicetak dalam bentuk slip kecil sebelum diserahkan kepada pengundi untuk disimpan sebagai rujukan pada hari pengundian.
Menurut beliau, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu menggunakan data daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dibekalkan kepada calon. Data berkenaan kemudiannya dimasukkan ke dalam sistem khas yang dibangunkan PH bagi memudahkan proses semakan dan cetakan slip.
Melalui sistem tersebut, jentera kempen hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan pengundi untuk mendapatkan maklumat berkaitan lokasi mengundi, termasuk nama sekolah dan nombor saluran yang ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kunjungan Hormat dan Ramah Mesra bersama jentera DUN Paya Rumput di Bilik Gerakan Utama PH di Krubong, Semalam.
Program itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Mengulas lanjut, Azman yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata idea berkenaan tercetus selepas mendapati ramai pengundi yang ditemuinya sepanjang kempen tidak mengingati pusat serta saluran mengundi masing-masing.
-Advertisement-
Justeru, slip bersaiz lebih kecil berbanding kertas A4 yang lazim digunakan sebelum ini dilihat lebih praktikal kerana mudah disimpan di dalam dompet atau poket untuk dijadikan rujukan semula ketika hari pengundian.
Menyentuh perkembangan kempen yang bakal memasuki minggu terakhir, Azman berkata beliau akan menggunakan baki masa yang ada untuk mendekati seramai mungkin penduduk di kawasan DUN Paya Rumput.
Beliau turut menyifatkan perjalanan kempen setakat ini sebagai baik, teratur dan aman, selain berharap suasana positif itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian.
Persaingan di DUN Paya Rumput menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Azman, Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
SPR menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November ini. – The Capital Post