Malaysia Tegaskan Kedaulatan Digital, Tolak Ancaman Kolonialisme Teknologi

Estimate Reading Time: 2 minutes

DOHA 9 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Malaysia menegaskan bahawa setiap negara perlu diberikan kebebasan menentukan dasar telekomunikasi dan hala tuju pembangunan teknologi masing-masing, sambil memberi amaran terhadap ancaman “kolonialisme teknologi” yang boleh menjejaskan kedaulatan digital sesebuah negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata amalan negara yang lebih maju dari segi teknologi menentukan pendekatan pembangunan serta penggunaan infrastruktur digital negara lain tidak seharusnya berlaku.

Beliau menegaskan setiap negara mempunyai hak untuk menentukan dasar sendiri, khususnya ketika persaingan geopolitik dan kewujudan ekosistem teknologi yang berbeza semakin mempengaruhi perkembangan sektor telekomunikasi global.

Fahmi berkata demikian ketika menyertai perbincangan panel peringkat menteri pada Kongres Mudah Alih Dunia (MWC) Doha 2026 di sini.

Menurut beliau, pengalaman Malaysia melaksanakan rangkaian 5G menunjukkan kepentingan mengekalkan kebebasan dalam membuat keputusan dasar, di samping menguruskan kepentingan geopolitik dan hubungan diplomatik.

Malaysia pada peringkat awal menggunakan model rangkaian borong tunggal bagi pelaksanaan 5G, meskipun pendekatan itu tidak disarankan oleh GSMA Intelligence. Bagaimanapun, negara kemudiannya beralih kepada model dwirangkaian.

Fahmi berkata proses peralihan tersebut merupakan satu cabaran yang memerlukan pengurusan sensitiviti diplomatik serta keseimbangan antara keutamaan domestik dengan piawaian teknologi antarabangsa.

Beliau turut berpandangan bahawa perbincangan mengenai kedaulatan digital tidak seharusnya hanya tertumpu kepada keupayaan negara berdikari dalam bidang teknologi, sebaliknya perlu mengambil kira prinsip kedaulatan negara secara menyeluruh.

Katanya, persekitaran global yang semakin multipolar memerlukan lebih banyak dialog dan kerjasama antara negara bagi mencari persamaan, berbanding membiarkan perbezaan terus melebar.

-Advertisement-

Mengulas mengenai prinsip saling kendali yang membolehkan rangkaian dan teknologi telekomunikasi berbeza beroperasi bersama, Fahmi berkata perkara itu akan menjadi antara cabaran ketika setiap negara melaksanakan strategi digital masing-masing.

Beliau menjelaskan pendekatan berasaskan konsensus ASEAN mempunyai keunikan tersendiri kerana blok serantau itu tidak mempunyai parlimen pusat dan amat menitikberatkan penghormatan terhadap kedaulatan setiap negara anggota.

Justeru, usaha membina kepercayaan serta memastikan saling kendali memerlukan negara melihat melangkaui kepentingan sempadan masing-masing dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.

Fahmi turut menekankan kepentingan membantu negara membangun merapatkan jurang digital, terutama ketika industri telekomunikasi sedang membuat persediaan menghadapi teknologi kuantum dan komunikasi selamat kuantum.

Beliau berkata industri juga perlu memberikan perhatian kepada peningkatan penggunaan praktikal rangkaian sedia ada sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan teknologi generasi keenam (6G).

Menurutnya, Malaysia masih berdepan cabaran untuk memastikan rangkaian 5G dan 5G-Advanced dimanfaatkan secara lebih meluas sebelum negara melangkah ke teknologi generasi seterusnya.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran, Fahmi yakin kerjasama antarabangsa mampu membuka ruang kepada inovasi dan penyelesaian baharu, termasuk daripada negara yang sebelum ini tidak dianggap sebagai peneraju teknologi dunia. – The Capital Post