SIBU 10 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara yang menjanjikan pelbagai kemudahan menarik boleh menjadi perangkap sindiket jenayah antarabangsa sehingga menyebabkan pencari kerja dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian.
Pengerusi Yayasan Pendidikan dan Kebajikan Asia Tenggara (SEAWEED), Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata golongan muda, khususnya lepasan sekolah, antara yang mudah terpengaruh dengan tawaran gaji tinggi yang diiklankan menerusi media sosial.
Menurut beliau, mangsa kebiasaannya hanya menyedari telah diperdaya selepas tiba di negara destinasi apabila pasport dirampas, pergerakan mereka dikawal dan dipaksa melakukan pekerjaan yang berbeza daripada tawaran asal.
Katanya, mangsa yang sudah berada di bawah kawalan sindiket terpaksa mematuhi arahan kerana bimbang keselamatan diri terancam.
Beliau berkongsi pengalaman ketika terlibat dalam usaha menyelamatkan 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 warga Sarawak, yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja pada awal 2019.
Mustapha berkata kumpulan berkenaan pada asalnya ditawarkan pekerjaan dalam sektor perhotelan lima bintang dengan gaji sebanyak US$1,200 sebulan, selain kemudahan penginapan dan makanan.
Bagaimanapun, mereka akhirnya dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan perjudian dalam talian sebelum ditahan oleh polis Kemboja.
Beliau berkata mangsa berkenaan bernasib baik kerana tidak dibawa ke kawasan berhampiran sempadan yang lebih sukar diakses untuk menjalankan operasi menyelamat.
-Advertisement-
Mustapha turut menyuarakan kebimbangan terhadap risiko eksploitasi yang lebih serius, termasuk pemerdagangan manusia dan eksploitasi seksual, khususnya melibatkan mangsa wanita.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pencari kerja dari Sarawak supaya tidak terburu-buru menerima tawaran pekerjaan di luar negara tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihan majikan, lokasi pekerjaan dan terma kontrak yang ditawarkan.
Beliau turut menyarankan agar pencari kerja membuat pengesahan dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk Kementerian Luar Negeri, selain berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.
Mustapha menegaskan bahawa tawaran gaji tinggi tidak seharusnya menjadi satu-satunya pertimbangan kerana aspek keselamatan dan masa depan perlu diutamakan, lebih-lebih lagi peluang pekerjaan turut tersedia di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Mustapha yang pernah berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sibu pada 1980-an menerima sijil penghargaan atas sumbangannya dalam usaha menyelamatkan rakyat Sarawak dari Kemboja.
Penghargaan itu disampaikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada Malam Warisan Samudera: Gala Amal Veteran anjuran Persatuan Veteran TLDM Cawangan Sarawak di sini, Sabtu lepas. – The Capital Post