Mangsa Banjir Selangor Meningkat

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat kepada 1,498 orang setakat 8 pagi ini, manakala Perak merekodkan penurunan kepada 265 mangsa.

Di Selangor, seramai 1,498 mangsa daripada 402 keluarga kini berlindung di tujuh PPS di daerah Kuala Selangor, berbanding 1,373 orang daripada 369 keluarga pada petang semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 428 orang, diikuti SK Dato’ Maharaja Lela dengan 393 orang.

Sementara itu, Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching menempatkan 311 mangsa, Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (123) dan KAFA Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (122).

Dua lagi PPS yang turut dibuka ialah SRA Batu 8 Ijok dengan 71 mangsa serta Dewan Komuniti Penyayang Tanjung Siam yang menempatkan 50 mangsa.

-Advertisement-

Di Perak pula, jumlah mangsa banjir di daerah Hilir Perak menurun kepada 265 orang daripada 74 keluarga, berbanding 274 orang daripada 79 keluarga pada petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan bahawa seramai 246 mangsa daripada 70 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), manakala 19 mangsa daripada empat keluarga berada di PPS Dewan MPTI Langkap.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan pada waktu pagi di beberapa daerah di Perak, iaitu Larut, Matang dan Selama, Kerian, Manjung, Kuala Kangsar, Hulu Perak serta Bagan Datuk.

Ribut dan hujan pula dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam di kesemua 12 daerah di negeri itu. – The Capital Post