MELAKA 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Sebanyak 17.96 peratus atau 120,162 daripada 669,211 pengundi biasa telah menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 setakat jam 10 pagi, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Taboh Naning mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi, iaitu 19.97 peratus daripada 24,282 pengundi.
Dua lagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang merekodkan peratusan tinggi ialah Serkam dengan 19.94 peratus daripada 11,174 pengundi, diikuti Tanjung Bidara sebanyak 19.92 peratus daripada 21,104 pengundi.
Sementara itu, Sungai Udang mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 16.39 peratus daripada 20,209 pengundi, manakala Bandar Hilir merekodkan 16 peratus daripada 22,818 pengundi.
-Advertisement-
Kesidang pula mencatatkan peratusan terendah setakat ini, iaitu 15.27 peratus daripada 53,972 pengundi.
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa yang menyediakan 1,213 saluran dibuka serentak pada jam 8 pagi dan dijadualkan beroperasi sehingga 6 petang bagi membolehkan pengundi memilih kerajaan negeri untuk penggal akan datang.
Secara keseluruhan, PRN kali ini melibatkan 675,166 pengundi biasa, termasuk 5,955 pengundi yang menunaikan tanggungjawab melalui undi pos. – The Capital Post