PRN Melaka: Warga Emas Berkerusi Roda Keluar Mengundi

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kekangan fizikal akibat kecederaan pinggul tidak menghalang seorang warga emas berusia 70 tahun, Yusof Taib, daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil hari ini.

Walaupun tidak mampu berdiri dan terpaksa menggunakan kerusi roda sejak mengalami kecederaan akibat terjatuh kira-kira 16 tahun lalu, Yusof tetap bersemangat untuk keluar mengundi bagi menentukan kepimpinan negeri.

Anak jati Melaka itu hadir ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru dengan Jalur Gemilang disangkut pada bahagian belakang kerusi rodanya. Beliau selesai menunaikan tanggungjawab tersebut kira-kira 8.15 pagi.

Selepas selesai mengundi, beberapa petugas media turut membantu dan menemani Yusof pulang ke kediamannya di Lorong Kaloi yang terletak berhampiran pusat mengundi berkenaan.

Yusof berkata, beliau berharap semua pengundi mengambil peluang untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memilih pemimpin yang mampu membawa masa depan lebih baik kepada Melaka.

-Advertisement-

Beliau turut berharap pemimpin yang diberikan mandat dapat terus memacu kemajuan negeri serta memastikan kebajikan dan kehidupan rakyat sentiasa terbela.

Yusof yang berasal dari Kampung Paya Ikan dan pernah bekerja sebagai tukang rumah mengalami kecederaan pada tulang pinggul akibat terjatuh sehingga memerlukan pemasangan dua batang besi dan lapan skru.

Sejak kejadian itu, beliau tidak lagi berupaya berdiri dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak. – The Capital Post