Indonesia Mahu Penerbangan Harian AirBorneo

Estimate Reading Time: 2 minutes

JAKARTA 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Indonesia berharap AirBorneo Airways, syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, dapat meningkatkan kekerapan penerbangan laluan Jakarta-Kuching daripada tiga kali seminggu kepada perkhidmatan harian, selain memperluas rangkaiannya ke beberapa destinasi lain di negara itu.

Timbalan Bahagian Pemasaran Pelancongan Indonesia, Ni Made Ayu Marthini berkata, peningkatan kesalinghubungan udara penting bagi memenuhi permintaan perjalanan antara Indonesia dan Malaysia yang semakin berkembang.

Beliau menyambut baik pengenalan perkhidmatan baharu AirBorneo itu, namun berharap syarikat penerbangan berkenaan dapat mempertimbangkan laluan ke destinasi popular dalam kalangan pelancong Malaysia, termasuk Bandung, Yogyakarta dan Bali.

Harapan itu disuarakan ketika majlis menyambut penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching serta pelancaran perkhidmatan penerbangan dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada petang Jumaat.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak merangkap Ahli Lembaga Pengarah AirBorneo, Datuk Hasmawati Sapawi; Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Farzami Sarkawi; Konsul Jeneral Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli; serta Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin.

Marthini berkata, ketibaan pelancong Malaysia ke Indonesia meningkat hampir sembilan peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus menjadikan Malaysia sumber utama pelawat antarabangsa ke negara itu.

Beliau turut menekankan peranan penting pengangkutan udara dalam sektor pelancongan, dengan kira-kira 70 peratus pelancong antarabangsa menggunakan pengangkutan udara untuk perjalanan mereka. Pengangkutan laut pula kekal relevan bagi destinasi tertentu seperti Batam dan Bintan.

-Advertisement-

Menurutnya, keluasan geografi Indonesia memerlukan jaringan pengangkutan yang lebih menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan serta memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia.

Sementara itu, Megat Ardian berkata laluan baharu berkenaan bukan sahaja menyediakan pilihan perjalanan yang lebih fleksibel, malah bertujuan memudahkan urusan perniagaan, perdagangan rentas sempadan, perjalanan perubatan dan pertukaran budaya antara Sarawak dengan Indonesia.

Beliau berkata, hubungan udara yang lebih baik mampu menjadi penghubung penting dalam memperkukuh kerjasama serta menyokong pertumbuhan bersama kedua-dua negara.

Dalam kenyataan berasingan, AirBorneo memaklumkan perkhidmatan terus itu turut memudahkan pesakit dari Indonesia mendapatkan rawatan pakar di Sarawak, termasuk pemeriksaan diagnostik, mendapatkan pandangan perubatan kedua serta menjalani prosedur perubatan yang dirancang.

Penerbangan Jakarta-Kuching kini beroperasi tiga kali seminggu, iaitu pada Isnin, Jumaat dan Ahad, menggunakan pesawat Boeing 737-800 yang menawarkan 12 tempat duduk kelas perniagaan serta 150 tempat duduk kelas ekonomi. – The Capital Post