Kerjasama Berpasukan Teras Kekuatan PGU

Estimate Reading Time: < 1 minute

SUBANG 14 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kekuatan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergantung kepada kerjasama dan sumbangan seluruh warga pasukan, bukan hanya keupayaan juruterbang dalam melaksanakan sesuatu misi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kelancaran operasi PGU turut didukung oleh kepakaran jurutera, juruteknik, pegawai operasi, kru penerbangan, pegawai pentadbiran serta anggota lain yang memainkan peranan masing-masing.

Menurut beliau, walaupun perbezaan pangkat dan jawatan menentukan bidang kuasa, nilai kemanusiaan, sikap saling menghormati dan semangat persaudaraan perlu sentiasa diutamakan.

Beliau turut mengingatkan setiap anggota dan pegawai supaya menghindari sikap mementingkan diri serta membudayakan amalan saling membantu dan menyokong antara satu sama lain.

Katanya, semangat kerja berpasukan perlu dijadikan budaya dalam organisasi kerana kejayaan sesuatu misi memerlukan kesepaduan tindakan, kepercayaan, komunikasi berkesan dan komitmen bersama.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah Wira MADANI Hari Keluarga Pasukan Gerakan Udara 2026, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata institusi keluarga turut menjadi sumber kekuatan emosi dan motivasi kepada anggota PGU yang perlu mengekalkan tahap kesiapsiagaan serta disiplin tinggi dalam menjalankan tugas.

Menurutnya, sokongan, doa dan pengertian keluarga terhadap pengorbanan anggota merupakan antara faktor penting yang membantu mereka melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai platform pembangunan modal insan yang penting dalam mengukuhkan keseimbangan antara tuntutan kerjaya yang mencabar dengan kesejahteraan keluarga.

Beliau berharap program itu dapat menyuntik semangat baharu kepada warga PGU, mengeratkan hubungan sesama anggota serta meningkatkan komitmen untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pasukan dan negara. – The Capital Post