NEW YORK 17 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Ribuan pelanggan beberapa bank utama di Amerika Syarikat (AS) berdepan kesukaran mengakses akaun perbankan dalam talian serta menggunakan perkhidmatan pemindahan wang Zelle pada Isnin susulan gangguan teknikal yang melibatkan JPMorgan Chase.
Gangguan itu turut menjejaskan transaksi antara Chase dengan institusi kewangan lain, menyebabkan sebahagian pelanggan mengalami kelewatan ketika menghantar atau menerima wang.
Bagaimanapun, JPMorgan Chase mengesahkan insiden berkenaan bukan berpunca daripada serangan siber, sebaliknya disebabkan pepijat perisian dalam sistem perkakasan yang dikendalikan di premis bank itu sendiri.
Jurucakap Chase, Joe Evangelisti berkata, pihaknya sedang berusaha memulihkan perkhidmatan yang terjejas akibat gangguan sementara tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa masalah berkenaan hanya melibatkan sistem Chase dan bukan gangguan menyeluruh terhadap sektor kewangan AS. Bank lain mungkin mengalami kelewatan transaksi sekiranya urusan pelanggan mereka melibatkan Chase.
Menurut laporan Associated Press (AP), gangguan itu tertumpu kepada pelanggan Chase serta pelanggan institusi kewangan lain yang cuba melakukan transaksi dengan bank berkenaan.
Bank of America dan Citigroup dilaporkan tidak mengalami gangguan terhadap perkhidmatan perbankan masing-masing.
Sementara itu, jurucakap U.S. Bank berkata sistem institusi berkenaan tidak terjejas secara langsung. Namun, pelanggan yang melakukan transaksi Zelle dengan institusi kewangan lain mungkin mengalami kelewatan dalam pemindahan wang.
-Advertisement-
Zelle merupakan perkhidmatan pembayaran antara individu yang digunakan oleh beberapa bank utama di AS bagi membolehkan pelanggan memindahkan wang kepada rakan dan ahli keluarga dalam tempoh hampir serta-merta.
Perkhidmatan itu dimiliki Early Warning Services, sebuah syarikat berpangkalan di Arizona yang turut dimiliki beberapa institusi kewangan utama, termasuk Bank of America, Capital One, JPMorgan Chase, PNC Bank, Truist, U.S. Bank dan Wells Fargo.
Jurucakap Early Warning Services mengesahkan rangkaian Zelle masih beroperasi sepenuhnya, namun mengakui gangguan pada sistem institusi kewangan tertentu boleh menyebabkan kelewatan pembayaran kepada sebahagian pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, gangguan JPMorgan Chase itu berlaku beberapa hari selepas dua insiden besar turut menjejaskan sektor lain di AS.
Pada Khamis, gangguan sistem Microsoft yang berlarutan selama beberapa jam menjejaskan perkhidmatan seperti Outlook, Teams dan pembantu kecerdasan buatan (AI) Copilot.
Insiden berkenaan disusuli gangguan sistem kawalan trafik udara AS pada Jumaat yang menyebabkan semua penerbangan di negara itu terkandas selama beberapa jam, selain memberi kesan kepada perjalanan udara sepanjang hujung minggu.
Sebahagian pelanggan Chase turut menerima pemberitahuan bahawa beberapa perkhidmatan perbankan tidak dapat digunakan buat sementara waktu. – The Capital Post