Naik Taraf Jalan Utama Palong Belum Diluluskan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 17 Nov 2026 (The Capital Post) – Cadangan menaik taraf Jalan Utama Palong (FT44) dari Seksyen 0 hingga Seksyen 9.10 di Negeri Sembilan tidak mendapat kelulusan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berikutan keutamaan diberikan kepada projek pembangunan lain di negeri itu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, permohonan kerajaan Negeri Sembilan bagi menaik taraf laluan sepanjang 33.79 kilometer itu telah dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada agensi pusat untuk pertimbangan.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan tidak diluluskan dalam RP2 RMK13 susulan kekangan dari segi keutamaan projek pembangunan negeri.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya cadangan berkenaan dikemukakan semula oleh pihak kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri atau Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri untuk disenaraikan sebagai projek keutamaan dalam Rolling Plan akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini berhubung perancangan menaik taraf laluan itu yang disifatkan sempit serta kerap berlaku kemalangan, termasuk kejadian maut.

Nanta berkata, tumpuan utama KKR ketika ini adalah memastikan projek yang telah diluluskan bagi laluan FT44 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) RMK13 dapat dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi ditetapkan.

Projek berkenaan melibatkan kerja menaik taraf struktur Jalan FT44 dari Seksyen 10 hingga Seksyen 25, selain menaik taraf persimpangan Palong 7 dan 8 di Jempol.

-Advertisement-

Menurut beliau, projek itu kini berada pada peringkat perancangan dan telah selesai menjalani makmal pengurusan nilai pada 7 hingga 9 Oktober lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, KKR memperuntukkan RM1.5 juta bagi pemasangan lampu jalan di 15 lokasi terpilih di jalan persekutuan daerah Jempol menerusi Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya bagi tempoh 2024 hingga 2026.

Nanta berkata pemasangan lampu jalan solar LED dilaksanakan berdasarkan beberapa kriteria, termasuk lokasi yang kerap berlaku kemalangan atau berisiko tinggi akibat keadaan gelap seperti persimpangan, selekoh dan jambatan.

Keutamaan turut diberikan kepada kawasan yang jauh daripada bekalan elektrik grid serta sering berdepan masalah kecurian kabel dan vandalisme.

Beliau berkata KKR juga mengambil maklum keperluan pemasangan lampu jalan di Jalan Serting Tengah-Keratong (FT11) dan Jalan Juasseh-Bahau (FT41) di Jempol.

Kedua-dua laluan itu akan dinilai dari aspek keselamatan sebelum dipertimbangkan untuk pelaksanaan pada masa hadapan. – The Capital Post