KOTA KINABALU, 19 November (The Capital Post) – Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Sabah, Datuk Abdul Fuad Abdul Malek dilantik sebagai Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Victor Sanjos yang sebelum ini menerajui ESSCOM sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah.
Majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Komander ESSCOM berlangsung di Menara Kinabalu hari ini, dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Victor.
Pada majlis tersebut, Abdul Fuad turut menjalani upacara kenaikan pangkat yang disempurnakan Pengarah KDNKA, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
-Advertisement-
Upacara kemudian diteruskan dengan penandatanganan Nota Serah Terima Tugas Komander ESSCOM, diikuti penyerahan sijil serah terima tugas serta tongkat kuasa sebagai simbol peralihan tanggungjawab dan kepimpinan pasukan keselamatan berkenaan.
ESSCOM ditubuhkan pada 1 April 2013 di Lahad Datu, Sabah, sebagai agensi peneraju keselamatan yang bertanggungjawab menyelaras operasi kawalan sempadan daratan dan maritim di 10 daerah dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).
Daerah berkenaan meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. – The Capital Post