Anwar Sumbang RM10,000 Kepada Qaish

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 21 November (The Capital Post) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyumbangkan RM10,000 bagi membantu pelumba muda dari Pahang, Muhammad Qaish Isyraf Mohd Qayyum menyertai kejohanan FIM MotoMini World Final Series di Valencia, Sepanyol.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata sumbangan berkenaan diserahkan menerusi wakil Anwar kepada pelumba cilik dari Indera Mahkota, Kuantan itu semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Farhan memaklumkan Muhammad Qaish bakal beraksi dalam kategori 160cc pada kejohanan antarabangsa berkenaan.

Beliau berharap sumbangan itu dapat menyuntik semangat kepada pelumba muda berkenaan, selain membantu menampung sebahagian kos penyertaannya dalam kejohanan tersebut.

“Sumbangan ini diharapkan dapat menjadi pembakar semangat serta membantu menampung sebahagian perbelanjaan beliau sepanjang menyertai kejohanan berprestij tersebut.

-Advertisement-

“Saya juga sempat berbual dan bertanya khabar Adik Qaish melalui panggilan video berkenaan persediaannya menghadapi kejohanan yang disertainya,” katanya.

Ahmad Farhan berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bakat tempatan mendapat perhatian, sokongan dan peluang mengembangkan potensi masing-masing.

Usaha berkenaan juga diharap dapat membantu atlet muda negara melangkah lebih jauh serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. – The Capital Post