Imigresen Tahan 46,426 Pendatang Asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

KLANG, 21 November (The Capital Post) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 46,426 pendatang asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi 12,471 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negara sejak Januari hingga semalam, 20 November 2026.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata operasi berkenaan turut melibatkan pemeriksaan terhadap 161,748 individu, selain tindakan diambil terhadap lebih 2,000 majikan yang didapati melanggar undang-undang.

“Ini menunjukkan kami sangat serius dan lebih daripada 37 operasi dilaksanakan setiap hari. Tiada jam tanpa operasi dan kami tidak berkompromi dengan mana-mana warga asing yang melakukan kesalahan.

“Sebanyak 52,743 warga asing sudah diusir pulang ke negara asal,” katanya selepas menyertai Ops Sasar di sebuah kilang di Meru, semalam.

Beliau berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi, termasuk Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan bukan hanya tertumpu kepada pekerja asing, malah turut menyasarkan pihak yang menjadi punca atau memudahkan berlakunya pelanggaran undang-undang imigresen.

Katanya, operasi akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Terdahulu, Lokman Effendi bersama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Datuk Basri Othman menyertai Ops Sasar di sebuah kilang memproses paku di Meru bermula 6 petang semalam dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

-Advertisement-

Dalam operasi itu, seramai 131 warga asing lelaki diperiksa dan 71 daripadanya ditahan, terdiri daripada 51 warga Bangladesh, 19 warga Nepal serta seorang warga Taiwan.

Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan turut menemukan keadaan premis yang kotor dan tidak terurus, selain penempatan pekerja yang sesak serta tidak memenuhi spesifikasi keselamatan.

Semua individu yang ditahan dibawa ke depoh tahanan JIM untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berkaitan, Lokman Effendi berkata seramai 1,702 warga asing dari 34 kilang telah diperiksa di seluruh negara sejak Rabu lepas.

Daripada jumlah itu, seramai 519 individu ditahan, manakala 42 borang saman saksi dikeluarkan kepada majikan dan pemilik premis.

JTKSM turut menjalankan siasatan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Akta Kerja 1955. – The Capital Post