MITRA Perluas Peluang Usahawan Belia India

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 21 November (The Capital Post) – Kerajaan MADANI akan terus memperluas peluang keusahawanan dalam kalangan masyarakat India, khususnya golongan belia menerusi pelbagai inisiatif kementerian dan agensi kerajaan termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif berkenaan merangkumi bantuan kewangan, kemudahan pembiayaan serta pembangunan kemahiran bagi menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang keusahawanan.

Usaha itu juga bertujuan membantu usahawan sedia ada mengembangkan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) di sini semalam.

Menurut Ramanan, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Program Uyarvu MADANI yang menerima peruntukan RM50 juta menerusi MITRA bagi menyediakan geran dan modal permulaan kepada usahawan masyarakat India, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dalam kategori B40 serta M40.

“Antara inisiatif ialah Program Uyarvu MADANI yang diperuntukkan RM50 juta menerusi MITRA bagi menyediakan geran dan modal permulaan kepada usahawan masyarakat India, khususnya golongan B40 dan M40,” katanya.

-Advertisement-

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan dewan perniagaan seperti KLSICCI bagi memudahkan usahawan muda mendapatkan pembiayaan serta sokongan pada peringkat awal perniagaan.

Mengulas kerjasama antara MITRA dengan KLSICCI, Ramanan berkata lebih RM4 juta telah diluluskan bagi melaksanakan dua program pembangunan keusahawanan serta bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada 2020 dan 2022.

Katanya, program yang dilaksanakan pada 2022 menyasarkan seramai 905 usahawan masyarakat India di seluruh negara dengan menyediakan bantuan peralatan perniagaan bernilai sehingga RM5,000 bagi setiap penerima.

Ramanan turut mengiktiraf sumbangan usahawan masyarakat India dalam pelbagai sektor termasuk peruncitan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan profesional.

Beliau berharap generasi muda dapat meneruskan legasi keusahawanan masyarakat berkenaan dengan membangunkan perniagaan sendiri berasaskan pengalaman serta kejayaan generasi terdahulu. – The Capital Post