Selangor Peruntuk RM6.4 Juta Untuk Atlet

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM, 21 November (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM6.4 juta kepada atlet, persatuan dan pengurusan kontinjen negeri itu susulan kejayaan meraih pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2026.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pencapaian negeri itu pada tahun ini cukup bermakna kerana selain berjaya menganjurkan kedua-dua temasya sukan berkenaan, Selangor turut membuktikan keupayaannya mengekalkan tradisi kecemerlangan dalam bidang sukan.

Beliau berkata kejayaan tersebut terhasil daripada usaha berterusan atlet, termasuk latihan intensif, pengorbanan masa serta sokongan keluarga, jurulatih dan pengurusan pasukan.

“Sebagai menghargai pencapaian luar biasa kontinjen itu, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor memperuntukkan RM6.4 juta sebagai insentif kemenangan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Malam Kecemerlangan Sukan Negeri Selangor 2026 di Dataran Karnival Shah Alam, malam tadi.

Menurut Amirudin, kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA buat kali ke-10, manakala pasukan Para SUKMA mencipta sejarah apabila merangkul gelaran juara keseluruhan buat pertama kali sejak 1982.

Pada 24 Ogos lepas, Selangor muncul juara keseluruhan SUKMA dengan kutipan 245 pingat, terdiri daripada 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Kontinjen Para SUKMA pula meraih 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa pada 10 September lalu.

Beliau berkata pasukan akuatik antara penyumbang utama kejayaan Selangor dalam SUKMA apabila meraih 23 pingat emas, 11 perak dan 15 gangsa, sekali gus melayakkan pasukan itu menerima insentif sebanyak RM668,000.

Bagi Para SUKMA, pasukan renang menjadi penyumbang pingat tertinggi dengan 34 emas, enam perak dan 20 gangsa, sekali gus menerima insentif berjumlah RM881,500.

Dalam kategori individu, atlet renang Shannon Tan bakal menerima insentif tertinggi sebanyak RM108,000 selepas meraih lapan pingat emas dan memecahkan empat rekod kejohanan.

-Advertisement-

Atlet para renang, Alysha Aryana Mohd Khairul Azli pula akan menerima RM104,000 selepas memenangi enam pingat emas serta memecahkan enam rekod kebangsaan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata kecemerlangan atlet Selangor turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila seramai 45 atlet negeri itu terpilih mewakili Malaysia ke Sukan Asia 2026 dan Sukan Para Asia 2026 di Aichi serta Nagoya, Jepun.

Daripada jumlah berkenaan, 17 atlet berjaya menyumbang pingat, selain seorang atlet para negeri yang menyertai acara Para Olahraga pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.

Sebagai menghargai pencapaian itu, kerajaan negeri turut menyediakan insentif kemenangan berjumlah RM89,200 kepada atlet terbabit.

Amirudin berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh pembangunan sukan secara menyeluruh, merangkumi pembangunan bakat di peringkat akar umbi, penyediaan kemudahan dan prasarana serta program bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 11 anugerah disampaikan, termasuk Anugerah Olahragawan Selangor yang dimenangi atlet tenpin boling, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Hasnul Azam.

Anugerah Olahragawati Selangor pula diberikan kepada Natasha Mohamed Roslan bagi sukan tenpin boling, manakala Anugerah Olahragawan Para dimenangi atlet olahraga Muhammad Ziyad Zolkefli dan Anugerah Olahragawati Para diberikan kepada perenang Lim Carmen.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Lau Weng San dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi. – The Capital Post