TURKIYE, 22 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung di Turkiye dilanjutkan selama sehari lagi susulan kegagalan negara peserta mencapai persetujuan mengenai kandungan deklarasi akhir persidangan.
Persidangan yang berlangsung di pusat peranginan Antalya itu sepatutnya berakhir pada Jumaat, namun beberapa isu utama yang masih belum diselesaikan menyebabkan rundingan diteruskan sehingga Sabtu.
Menteri Iklim Tuvalu, Maina Talia, melahirkan kekecewaan terhadap perkembangan perlahan yang dicapai sepanjang Persidangan Pihak-Pihak (COP31), khususnya berkaitan usaha memperkukuh tindakan global menangani perubahan iklim.
Beliau berkata ketidakpuasan hati, kehilangan kepercayaan dan kekecewaan semakin ketara dalam kalangan masyarakat sivil serta negara yang paling terkesan akibat perubahan iklim, meskipun negara berkenaan bukan penyumbang utama kepada masalah tersebut.
Talia berkata demikian ketika ditemui sekumpulan wartawan, sambil menegaskan bahawa negara-negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim memerlukan tindakan lebih berkesan daripada masyarakat antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Tuvalu akan terus mencari ruang untuk memajukan agenda perlindungan alam sekitar di luar proses rundingan rasmi PBB, selain menggesa semua pihak supaya tidak berputus asa dalam menghasilkan penyelesaian terhadap krisis iklim.
Beliau turut menyentuh mengenai kerjasama puluhan negara yang menyokong usaha menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat, termasuk arang batu, minyak dan gas.
Pakatan berkenaan sebelum ini mengadakan pertemuan di Santa Marta, Colombia pada April lalu bagi membincangkan langkah mempercepat peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih.
Persidangan susulan pula dirancang berlangsung di Tuvalu pada Julai depan dengan Ireland bertindak sebagai negara penganjur bersama.
-Advertisement-
Menurut Talia, kerjasama itu menyediakan ruang kepada negara-negara yang komited terhadap peralihan tenaga untuk membincangkan pelaksanaan secara lebih terbuka, inklusif dan kurang dipengaruhi tekanan politik.
COP31 yang bermula pada 9 November menghimpunkan wakil daripada hampir 200 negara, termasuk saintis, komuniti perniagaan dan pertubuhan masyarakat sivil bagi merundingkan pendekatan bersama terhadap perubahan iklim.
Persidangan itu berlangsung ketika dunia berdepan peningkatan suhu global, rekod cuaca panas serta pelbagai bencana alam yang semakin membimbangkan.
Antara isu utama yang mencetuskan kebuntuan rundingan ialah cadangan supaya deklarasi akhir menyatakan secara jelas komitmen untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat.
Selain itu, negara peserta turut berdepan perbezaan pandangan mengenai sasaran baharu bagi mempercepat penggunaan tenaga elektrik serta mekanisme penyaluran dana bantuan yang telah dijanjikan kepada negara membangun.
Dana berkenaan amat penting bagi membantu negara yang terdedah kepada perubahan iklim melaksanakan langkah penyesuaian dan mengurangkan kesan bencana berkaitan iklim.
Pelanjutan tempoh rundingan persidangan iklim PBB bukan perkara baharu apabila situasi sedemikian telah berulang sejak lebih dua dekad lalu, khususnya apabila negara peserta gagal mencapai kata sepakat terhadap isu-isu utama. – The Capital Post