KUALA LUMPUR, 22 November 2026 (The Capital Post) – Filem Khadam mencipta kejayaan besar apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, malam tadi.
Kejayaan itu melayakkan filem berkenaan menerima insentif Dana Kandungan Kreatif bernilai RM1 juta berserta trofi, sekali gus menewaskan empat filem lain yang turut dicalonkan dalam kategori berkenaan, iaitu Mother Bhumi, Malam Terlarang, Macai dan Abah Saya Uncle Mike.
Anugerah utama itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, dengan diiringi Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac; serta Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Arul Rajoo Durar Raj.
Selain merangkul anugerah Filem Terbaik, Khadam turut mendominasi malam pengiktirafan itu dengan membawa pulang sembilan lagi trofi, menjadikan keseluruhan 10 kemenangan.
Pengarah filem berkenaan, Shamyl, diumumkan sebagai penerima Pengarah Terbaik, manakala pelakon cilik Zarra Zhaff memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Filem itu turut memenangi kategori Tatarias/Solekan Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Anugerah Khas Juri menerusi Aghniny Haque.
-Advertisement-
Sementara itu, filem Badak turut mencipta kejayaan apabila membawa pulang tiga trofi menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik yang dimenangi Shaheizy Sam, Pelakon Wanita Terbaik oleh Aida Amron dan Anugerah Khas Juri.
Anugerah Khas Sepanjang Zaman pula diberikan kepada dua seniman dan seniwati legenda negara, Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud, manakala Anugerah Khas Karyawan menjadi milik pengarah veteran, Panchacharam P. Nalliah atau lebih dikenali sebagai Pansha.
Bertemakan “Spektrum Sinema”, setiap pemenang FFM35 menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi.
Berikut senarai penuh pemenang FFM35:
| Kategori | Pemenang |
|---|---|
| Filem Terbaik | Khadam |
| Pengarah Terbaik | Shamyl (Khadam) |
| Pengarah Harapan | Ezrie Gazali (Abah Saya Uncle Mike) |
| Cerita Asal Terbaik | Macai |
| Lakon Layar Terbaik | Khadam |
| Pelakon Lelaki Terbaik | Shaheizy Sam (Badak) |
| Pelakon Wanita Terbaik | Aida Amron (Badak) |
| Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik | Kuben Mahadevan (Macai) |
| Pelakon Pembantu Wanita Terbaik | Zarra Zhaff (Khadam) |
| Pelakon Lelaki Harapan | Mierul Aiman (Tarung: Unforgiven) |
| Pelakon Wanita Harapan | Aila Azizul (Malam Terlarang) |
| Pelakon Kanak-Kanak Terbaik | The Waves Will Carry Us |
| Anugerah Khas Juri 1 | Aghniny Haque (Khadam) |
| Anugerah Khas Juri 2 | Badak |
| Anugerah Khas Karyawan | Panchacharam P. Nalliah (Pansha) |
| Anugerah Khas Sepanjang Zaman 1 | Ahmad Yatim |
| Anugerah Khas Sepanjang Zaman 2 | Fauziah Ahmad Daud |
| Anugerah Khas Filem Box Office | Papazola The Movie |
| Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik | Tarung: Unforgiven |
| Penyunting Terbaik | The Waves Will Carry Us |
| Sinematografi Terbaik | Khadam |
| Penataan Seni Terbaik | Mother Bhumi |
| Penataan Bunyi Terbaik | Khadam |
| Lagu Tema Terbaik | Khadam |
| Skor Muzik Asal Terbaik | Khadam |
| Kesan Khas Visual Terbaik | Malam Terlarang |
| Poster Terbaik | Blues |
| Rekaan Kostum/Busana Terbaik | Gayong 2 |
| Tatarias/Solekan Terbaik | Khadam |
| Filem Pendek Terbaik | Salted Fish (Ikan Masin) |
| Dokumentari Terbaik |
Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin |