Pulau Pinang Siapkan Projek Tebatan Banjir RM9.65 Juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGE TOWN, 25 November 2026 (The Capital Post) – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyiapkan tiga projek utama menaik taraf sistem perparitan dan tebatan banjir bernilai RM9.65 juta bagi mengurangkan impak banjir di kawasan berisiko di Seberang Perai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan merangkumi kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Alma Aman bernilai RM2.7 juta, projek tebatan banjir di Taman Machang Bubok berjumlah RM1.95 juta serta pembinaan rumah pam dan kolam takungan banjir di Jalan Tembikai bernilai RM5 juta.

“Projek-projek ini memainkan peranan penting dalam mengawal impak banjir daripada menjadi jauh lebih buruk di kawasan tadahan masing-masing.

“Sebagai pelan mitigasi jangka panjang, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi serta kajian kejuruteraan bagi memperkukuh daya tahan infrastruktur Seberang Perai,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara projek yang sedang dilaksanakan ialah menaik taraf sistem saliran dan rumah pam di Taman Inderawasih, dengan kerja pemasangan pam berkapasiti tinggi dijadualkan siap pada Mac 2027.

Sementara itu, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Jalan Medan Tembikai, Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka siap sepenuhnya pada April 2027.

Zairil berkata, kajian teknikal terperinci bagi mitigasi banjir di Taman Impian, SPT dan Taman Bertam Indah, Seberang Perai Utara (SPU) pula masing-masing dijadualkan dimuktamadkan pada awal dan pertengahan tahun depan bagi membolehkan penyelesaian berstruktur dilaksanakan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar Seberang Perai dari 13 hingga 20 November lalu dan bersimpati dengan penduduk yang terjejas.

-Advertisement-

Berdasarkan rekod pemantauan rasmi MBSP serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), siri hujan lebat berterusan sepanjang tempoh berkenaan mencatatkan taburan hujan kumulatif luar biasa tinggi antara 150 hingga 250 milimeter (mm).

Fenomena cuaca ekstrem itu menjejaskan 11 lokasi dan kira-kira 30 kediaman di SPT, SPU serta Seberang Perai Selatan (SPS).

“Pemeriksaan mendapati aliran air keluar di beberapa lokasi seperti Taman Impian dan Bandar Perda terganggu akibat pembuangan sampah sarap, sisa makanan, serta mendapan sisa binaan yang menyekat kelancaran aliran di parit utama,” katanya.

Susulan itu, Zairil berkata, kerajaan negeri menggerakkan penyelarasan bersepadu melibatkan MBSP, JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk pengurusan aliran air di sekitar tapak kerja menaik taraf jalan dan parit di Bandar Perda.

Selain melaksanakan operasi pembersihan dan penyelenggaraan intensif di semua lokasi terjejas, semua rumah pam di bawah seliaan Unit Tebatan Banjir MBSP dan JPS turut diaktifkan pada kapasiti penuh.

Pemantauan rapi selama 24 jam juga dilaksanakan setiap kali amaran hujan lebat dikeluarkan bagi memastikan sistem tebatan banjir berfungsi dengan baik. – The Capital Post