KOTA BHARU, 25 November 2026 (The Capital Post) – Agenda kecerdasan buatan (AI) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukan sekadar memperluas penggunaan teknologi dalam kalangan mahasiswa, malah turut memberi tumpuan kepada usaha melahirkan generasi pencipta teknologi dan usahawan digital bagi memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, usaha itu selari dengan sasaran KPT untuk melahirkan 30,000 siswazah mahir AI menjelang 2030 menerusi pengukuhan kapasiti pendidikan, peningkatan pengambilan pelajar serta penyediaan tenaga pengajar khusus dalam bidang berkenaan.
Beliau berkata, sokongan KPT turut diterjemahkan menerusi peningkatan kuota pengambilan pelajar bagi program berkaitan AI di UMK daripada 60 kepada 120 orang bagi setiap pengambilan, selain peruntukan tambahan untuk pengambilan tenaga pengajar.
“Fokus UMK bukan sekadar melahirkan pengguna teknologi, tetapi juga pencipta dan usahawan teknologi. Kita mahu pelajar bukan sahaja menggunakan aplikasi AI sedia ada, malah turut berupaya membangunkan aplikasi sendiri,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Arham berkata, UMK turut memperluas pendedahan AI melalui pembangunan aplikasi yang menggabungkan kepakaran pelajar daripada pelbagai fakulti bagi menghasilkan inovasi berdasarkan keperluan sebenar industri dan masyarakat.
Antara hasil inovasi berkenaan ialah EcoWatch, sistem pemantauan pencemaran dan pengesanan kualiti air secara pintar dalam masa nyata yang dibangunkan pelajar Fakulti Sains Data dan Pengkomputeran menerusi pasukan SmartLink Innovation.
Projek itu memenangi pingat emas pada Virtual Innovation Competition (VIC) 2024, selain menerima geran RM5,000 sebagai finalis program The Next Big Thing 2024.
Selain itu, pelajar UMK turut membangunkan TerraMetric, sebuah syarikat pemula inovasi digital yang memfokuskan analitik metrik tanah dan alam sekitar berasaskan data, serta Smart Energy Harvester, prototaip yang berupaya menuai dan mengurus tenaga ambien bagi menyokong teknologi hijau mampan.
Menurut Arham, pendekatan berkenaan diperkukuh menerusi Ignite Venture Lab yang menyediakan platform inkubator bagi membimbing pelajar membangunkan idea inovasi, termasuk aspek pembentangan projek kepada pelabur dan penyertaan dalam pertandingan.
Dalam pada itu, KPT turut menyediakan akses percuma kepada aplikasi Gemini dan NotebookLM untuk kegunaan pelajar serta petugas Universiti Awam (UA), selain memantau kadar penggunaan kedua-dua platform berkenaan melalui data yang dikemukakan institusi masing-masing.
Arham berkata, UMK juga mengambil langkah menyediakan garis panduan dan dasar penggunaan AI dalam bidang akademik serta penyelidikan bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan secara beretika tanpa menjejaskan integriti akademik.
-Advertisement-
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Data dan Pengkomputeran UMK, Prof. Madya Dr. Hadhrami Ab Ghani berkata, usaha melahirkan pencipta teknologi memerlukan mahasiswa menguasai asas matematik, statistik dan pengaturcaraan, selain kemahiran membangunkan serta melatih model AI.
Beliau berkata, penguasaan asas berkenaan penting bagi memastikan siswazah bukan sekadar mampu menggunakan aplikasi AI sedia ada, malah berkeupayaan membangunkan produk teknologi sendiri, termasuk AI berdaulat.
“Pelajar boleh menjadi pengguna AI yang bagus, tetapi tidak semestinya mereka boleh menghasilkan produk AI. Untuk menguasainya, mereka perlu memahami asas matematik, statistik serta memastikan kualiti data yang digunakan benar-benar mencukupi dan bersih,” katanya.
Beliau berkata, kurikulum program Sarjana Muda Teknologi Maklumat di UMK merangkumi pembelajaran secara berperingkat, bermula dengan asas pengaturcaraan dan pangkalan data pada tahun awal pengajian, sebelum beralih kepada pembelajaran mesin serta kepintaran komputeran pada tahun berikutnya.
Bagi memastikan kandungan pengajian sentiasa relevan dengan perkembangan industri, fakulti turut mendapatkan pandangan penasihat luar termasuk Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), selain melaksanakan semakan kurikulum secara berkala.
Program berkenaan turut memperoleh akreditasi penuh selama enam tahun melalui Malaysia Board of Technologists (MBOT), sekali gus melayakkan siswazahnya mendapat pengiktirafan Seoul Accord.
Hadhrami berkata, pendekatan pembelajaran turut memberikan penekanan kepada latihan praktikal menerusi projek Capstone yang membolehkan mahasiswa menyelesaikan permasalahan sebenar industri, selain kursus Keusahawanan Digital yang menggalakkan mereka membangunkan idea dan menubuhkan syarikat pemula pelajar.
“Industri bukan hanya mahukan pelajar yang tahu menggunakan teknologi, tetapi mereka yang benar-benar menguasai bidang berkenaan, selain mempunyai kemahiran komunikasi, interaksi dan kebolehan bekerja dalam kumpulan,” katanya.
Beliau berkata, fakulti turut menyediakan kira-kira 90 komputer berprestasi tinggi yang dilengkapi unit pemprosesan grafik (GPU) bagi menyokong pembelajaran dan penyelidikan AI menerusi tiga makmal khusus, iaitu Makmal IoT, Makmal AI dan Makmal Sains Data.
Mengulas kebolehpasaran siswazah, beliau berkata kohort pertama program berkenaan yang telah menamatkan pengajian mencatatkan kadar kebolehpasaran 100 peratus apabila kesemua graduannya berjaya memperoleh pekerjaan. – The Capital Post