Kastam Sita Rokok dan Diesel RM31.6 Juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU, 25 November 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dan minyak diesel menerusi dua operasi berasingan di perairan Johor dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM31.6 juta.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, dua kapal bersama 16 kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 53 tahun turut ditahan dalam operasi di perairan Pengerang dan Kukup.

Beliau berkata, operasi pertama dijalankan pada 11.40 pagi, 21 Oktober lalu apabila sepasukan anggota Operasi Marin Cawangan Penguatkuasaan Kastam Johor Bahru menahan sebuah kapal di perairan Pengerang hasil perkongsian maklumat daripada Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Indonesia.

“Pemeriksaan menemukan 29.916 juta batang rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam. Rokok ini dianggarkan bernilai RM5.984 juta, manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan sebanyak RM21 juta,” katanya pada sidang media di Pangkalan Marin Kastam, Sungai Pulai, semalam.

Aminul Izmeer berkata, kapal yang membawa muatan rokok dari Kemboja ke Malaysia itu ditahan bersama lapan kru bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam operasi kedua pada 10.20 pagi, 2 November lalu, sepasukan anggota kastam daripada Unit Marin Sungai Pulai menahan sebuah kapal tangki minyak di perairan Kukup yang dalam perjalanan dari Vietnam ke Malaysia.

-Advertisement-

“Pemeriksaan mendapati kapal tersebut membawa sejumlah besar cecair yang dipercayai minyak diesel yang disyaki belum lulus kastam. Kapten kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 569,000 liter minyak diesel bernilai RM1.395 juta dengan duti dan cukai berjumlah RM227,000 disita, manakala kapal berkenaan ditahan bersama lapan kru untuk membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua kapal berkenaan didaftarkan di luar negara, namun butiran lanjut mengenainya masih dalam siasatan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – The Capital Post