SANDAKAN, 24 November 2026 (The Capital Post) – Sabah Electricity menyasarkan penanaman 2,777 anak pokok di kawasan seluas 2.5 hektar di Hutan Simpan Garinono di sini dalam tempoh tiga tahun hingga 2028 menerusi program pemuliharaan alam sekitar.
Pengerusinya, Datuk Saadiah Aziz berkata, program penanaman pokok itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan sebagai komitmen syarikat memastikan pembangunan sektor tenaga di Sabah berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber semula jadi secara mampan.
“Sebagai penyedia bekalan elektrik utama di Sabah, tanggungjawab kami bukan sahaja memastikan bekalan elektrik yang stabil dan boleh dipercayai, tetapi juga menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Pada hari ini, kita tidak sekadar menanam pokok, kita sedang menanam harapan, memulihkan ekosistem dan mewariskan khazanah alam yang akan dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan selepas program itu hari ini.
Saadiah berkata, program selama tiga tahun itu melibatkan kos RM93,425 bagi penanaman kira-kira lima spesies pokok tempatan, termasuk belian, seraya tembaga dan binuang.
Beliau berkata, pemilihan spesies yang bersesuaian dengan habitat semula jadi kawasan berkenaan penting bagi menyokong pemulihan ekosistem hutan serta mengekalkan kepelbagaian biodiversiti di Hutan Simpan Garinono.
Pelaksanaan program itu turut merangkumi kerja penyediaan tapak, pembekalan anak pokok, aktiviti penanaman serta penyelenggaraan seperti pembajaan, pembersihan kawasan tanaman dan penggantian anak pokok yang mati, selain pemantauan berkala setiap tiga bulan.
Dalam pada itu, Saadiah berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat, khususnya dalam menyokong pemulihan ekosistem hutan, pemeliharaan biodiversiti serta usaha menangani perubahan iklim.
“Dari aspek kelestarian alam sekitar, program ini mampu menyumbang kepada usaha mitigasi perubahan iklim melalui penyerapan karbon, apabila mencapai tahap pertumbuhan yang diunjurkan, pokok-pokok ini berpotensi menyerap kira-kira 22 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun.
“Dalam tempoh 20 tahun, jumlah penyerapan karbon dianggarkan mencecah 440 tCO₂e, jumlah ini bersamaan dengan anggaran pelepasan karbon daripada pembakaran kira-kira 164,179 liter bahan api diesel daripada 110 buah kenderaan dengan purata pemanduan sejauh 20,000 kilometer setahun bagi setiap kenderaan,” katanya.
Saadiah berkata, Sabah Electricity akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif kelestarian alam sekitar menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, dengan harapan usaha itu dapat memberikan manfaat jangka panjang kepada ekosistem hutan Sabah. – The Capital Post