Empat Tahun Kerajaan MADANI: Reformasi Institusi Perkukuh Tadbir Urus Negara

Estimate Reading Time: 4 minutes

KUALA LUMPUR, 25 November 2026 (The Capital Post) – Agenda reformasi institusi dan pengukuhan tatakelola negara terus menjadi antara fokus utama pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengambil alih kerajaan pada November 2022.

Memasuki tahun keempat pentadbiran, pelbagai pembaharuan perundangan dan pentadbiran dilaksanakan secara berperingkat bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti serta integriti dalam pengurusan negara.

Antara perkembangan penting pada 2026 ialah penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] pada 1 Oktober lalu, yang mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas lebih tiga dekad, sekali gus memperkukuh kebebasan badan legislatif daripada cabang eksekutif.

Selain itu, usaha mengasingkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut dimulakan menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 di Dewan Rakyat pada Februari sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut.

Kerajaan juga meneruskan beberapa agenda pembaharuan lain, termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun, penubuhan Ombudsman Malaysia serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang serta ketelusan pentadbiran.

Usaha berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif yang diperkenalkan sejak 2023, antaranya Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850], Akta Audit (Pindaan) 2024, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 [Akta 867], Akta Perolehan Kerajaan 2026 [Akta 882] serta Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Penggubalan Akta 882, khususnya, bertujuan memperkukuh kawalan terhadap kuasa budi bicara Menteri Kewangan dalam kelulusan perolehan kerajaan, selain memperuntukkan tindakan lebih tegas melalui hukuman denda dan penjara bagi ketidakpatuhan terhadap tatacara kewangan.

Pelaksanaan Akta 850 dan pindaan Akta Audit 1957 pada 2024 pula mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh disiplin fiskal, ketelusan dan akauntabiliti pengurusan kewangan awam, termasuk dengan memperluas skop pengauditan terhadap entiti yang menerima dana atau jaminan kerajaan.

Dalam aspek pencegahan rasuah, NACS 2024-2028 menggariskan 60 substrategi yang merangkumi sektor awam dan swasta. Kerajaan turut menekankan pelaksanaan tender terbuka serta penyasaran subsidi bagi mengurangkan penyeludupan dan ketirisan dana negara.

Kerajaan juga menyatakan komitmen untuk tidak mencampuri operasi agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras sindiket penyeludupan, kartel serta kes berprofil tinggi.

Sementara itu, reformasi penyampaian perkhidmatan awam dan pendigitalan diteruskan menerusi pelaksanaan Akta 867 serta sistem e-Invois secara berperingkat bagi mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memperkukuh pematuhan cukai.

Usaha memperbaiki tatakelola itu turut mendapat perhatian antarabangsa apabila Malaysia meningkat tiga anak tangga ke kedudukan ke-53 daripada 143 negara dalam Indeks Kedaulatan Undang-Undang 2026 oleh World Justice Project (WJP) pada Oktober lalu.

Malaysia juga memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 daripada tangga ke-57 kepada ke-54, seperti diumumkan pada Februari lalu.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis, berkata empat tahun pentadbiran Kerajaan MADANI memperlihatkan kemajuan dalam pembinaan kerangka reformasi institusi, namun perubahan sistemik masih memerlukan masa serta pelaksanaan yang konsisten.

Beliau yang juga Felow Penyelidik ILHAM Centre berkata pembaharuan yang diperkenalkan menunjukkan usaha kerajaan beralih daripada pendekatan pentadbiran yang bergantung kepada budi bicara eksekutif kepada sistem berasaskan peraturan, pengawasan dan akauntabiliti.

“Pada hemat saya, pencapaian Kerajaan MADANI setakat ini boleh dianggap sebagai kemajuan pada peringkat kerangka dan asas institusi tetapi masih berdepan cabaran dari segi pelaksanaan dan pembudayaan reformasi.

“Rakyat akhirnya mahu melihat hasil yang nyata, bukannya sekadar mendengar komitmen pembaharuan,” katanya kepada Bernama.

-Advertisement-

Mujibu berkata autonomi Parlimen juga perlu diterjemahkan kepada pengawasan yang lebih berkesan terhadap cabang eksekutif, termasuk melalui pemerkasaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas.

Beliau menambah cabaran utama kerajaan adalah memastikan reformasi tidak terhenti pada peringkat penggubalan undang-undang, sebaliknya membawa perubahan terhadap budaya pentadbiran serta memberikan manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Sementara itu, Penolong Pengurus Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Syazwan Zainal, menyifatkan Kerajaan MADANI sebagai kesinambungan dan dalam beberapa aspek, kemuncak kepada usaha reformasi dalam landskap politik Malaysia.

Menurutnya, pemerkasaan Parlimen merupakan antara bidang utama reformasi institusi yang berpotensi menjadi legasi kerajaan, khususnya dalam menjadikan badan legislatif sebuah institusi bebas yang mampu melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap eksekutif.

Beliau berkata pengembalian Akta Perkhidmatan Parlimen merupakan contoh penting kerana perundangan itu mewujudkan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang mempunyai autonomi serta kuasa melantik kakitangan dan mengagihkan sumber kewangan.

“Kebebasan Perkhidmatan Parlimen amat kritikal bagi memastikan Ahli Parlimen daripada pelbagai blok politik mendapat sokongan dari segi sumber kewangan dan tenaga kerja. Hal ini seterusnya akan menyumbang kepada perbahasan lebih berkualiti di Parlimen dan penelitian dasar yang lebih mantap,” katanya.

Mengulas mengenai Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal serta pindaan Akta Audit, Syazwan berkata perundangan sedemikian penting bagi menutup ruang ketirisan dan memperkenalkan piawaian ketelusan kerajaan yang lebih tinggi.

Bagi menangani ketirisan kewangan dan mengurangkan risiko rasuah, beliau mencadangkan supaya Akta Pembiayaan Politik yang menyeluruh diluluskan, selain melaksanakan reformasi pelengkap seperti Akta Kebebasan Maklumat, penubuhan Ombudsman serta pindaan terhadap Akta SPRM dan Akta Entiti Kerajaan.

Syazwan turut menyifatkan reformasi yang dimulakan Kerajaan MADANI sebagai asas kukuh untuk pembaharuan pada masa hadapan. Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan perlu membuktikan komitmennya dengan meluluskan baki inisiatif reformasi yang dijanjikan sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Sekiranya Kerajaan MADANI berjaya meluluskan reformasi berkenaan sebelum PRU akan datang, ia akan membuktikan bahawa pentadbiran ini adalah sebuah kerajaan yang membawa perubahan transformatif. Setelah semua inisiatif ini diluluskan, kerajaan boleh memberi hujah bahawa ia telah mengemudi Malaysia ke arah yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Zulkefly Othman, menyifatkan penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 pada 1 Oktober lalu sebagai pencapaian bersejarah yang mencerminkan iltizam kerajaan memperkukuh kebebasan badan legislatif daripada eksekutif.

“Jarang sekali dalam amalan demokrasi, seorang Perdana Menteri sanggup menyerahkan semula kuasa mutlak eksekutif kepada legislatif.

“Langkah ini membuktikan tatakelola di bawah Kerajaan MADANI digerakkan untuk membetulkan paksi kuasa negara secara kekal, bukan sekadar mengukuhkan kedudukan pemerintah semasa,” katanya.

Beliau berkata gabungan reformasi perundangan termasuk Akta Perolehan Kerajaan, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957 membentuk penanda aras institusi baharu yang berpotensi menutup ruang ketirisan dan meningkatkan keyakinan pelabur.

Menurutnya, tatakelola yang bersih dan integriti kukuh mampu menarik keyakinan pelabur domestik serta antarabangsa, sekali gus menyokong peluang ekonomi yang lebih adil untuk generasi muda.

Beliau berkata pembudayaan integriti memerlukan kesabaran dan konsistensi, namun asas reformasi yang telah dibina Kerajaan MADANI penting bagi memastikan Malaysia terus bergerak ke arah negara yang lebih telus dan berintegriti. – The Capital Post