SHAH ALAM, 25 November 2026 (The Capital Post) – Usia muda bukan penghalang buat seorang bekas tukang masak mengejar impian dalam bidang keusahawanan apabila berjaya membangunkan perniagaan penternakan ayam penelur bersama bapanya.
Taufiq Mohd Zamri, 23, kini mengusahakan hampir 15,000 ekor ayam bersama bapanya, Mohd Zamri Yahya, 54, menerusi ladang ternakan Famille Farm di Tanjong Karang.
Kejayaan dua beranak itu turut mendapat pengiktirafan apabila Mohd Zamri dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Unggul Program Transformasi Usahawan Asnaf Selangor (TUAS) 2026 anjuran Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), sebagai ketua keluarga asnaf.
Taufiq, anak ketiga daripada empat beradik, berkata minatnya dalam bidang penternakan ayam penelur bermula selepas melihat bapanya mengusahakan ternakan itu secara kecil-kecilan pada 2022.
“Pada masa itu, saya bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Selangor. Setelah tertarik dengan usaha ayah, saya nekad mengumpul modal untuk mengembangkan perniagaan itu. Saya bermula dengan hanya 10 ekor ayam pada 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika menghadiri Program TUAS 2026 dan Pelancaran Kolaborasi Asnaf Berdaya Saing (KOLAB) Zakat Selangor di sini, baru-baru ini.
Menurut Taufiq, sokongan bapa dan keluarga menjadi pendorong utama untuk terus mengembangkan perniagaan dalam bidang penternakan ayam penelur serta pengeluaran telur yang kini mencapai antara 700 hingga 800 papan seminggu.
-Advertisement-
Beliau turut bersyukur apabila bapanya, selaku ketua keluarga asnaf, menerima bantuan kewangan daripada Zakat Selangor menerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), selain peluang mengikuti kursus berkaitan perniagaan dan memperluas jaringan sedia ada.
Taufiq yang memberi tumpuan kepada pasaran di Selangor dan Johor turut menawarkan kursus penternakan ayam penelur kepada penternak tempatan yang berminat menceburi bidang perniagaan berpotensi untuk berkembang itu.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata pada awalnya beliau hanya menternak beberapa ekor ayam sebagai aktiviti mengisi masa lapang serta mendapatkan telur untuk kegunaan sendiri.
“Namun, tidak sangka aktiviti ini menerima permintaan positif daripada orang ramai, malah turut diminati oleh anak lelaki saya. Usaha selama ini membuahkan hasil dengan penganugerahan TUAS dan saya sentiasa menyokong perniagaan anak saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari, berkata prestasi pembangunan usahawan asnaf menunjukkan peningkatan apabila 70 peratus daripada mereka mencatat pertambahan pendapatan tahun ini berbanding 64 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata sebanyak 578 permohonan bantuan modal perniagaan bernilai hampir RM6.2 juta diluluskan dalam tempoh sama, manakala lebih 2,000 usahawan asnaf menerima manfaat menerusi kursus dan latihan perniagaan setiap tahun. – The Capital Post