Terengganu Catat Peningkatan Mangsa Banjir

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 25 November 2026 (The Capital Post) – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Perak menunjukkan penurunan pagi ini, manakala Terengganu merekodkan sedikit peningkatan.

Di Selangor, jumlah mangsa yang masih berlindung di PPS berkurangan kepada 819 orang daripada 228 keluarga berbanding 1,158 orang daripada 324 keluarga semalam.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak enam PPS masih beroperasi di negeri itu, dengan lima daripadanya terletak di daerah Kuala Selangor dan satu di Kuala Langat.

Lima PPS di Kuala Selangor ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela yang menempatkan 348 mangsa, Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan (157), SK Parit Mahang (144), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (108) dan Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (46).

Sementara itu, PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu di Kuala Langat menempatkan 16 mangsa.

Di Perak, jumlah mangsa banjir yang berlindung di tiga PPS di tiga daerah menurun kepada 211 orang daripada 63 keluarga pagi ini berbanding 255 orang daripada 73 keluarga semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan daerah Kerian pulih sepenuhnya daripada bencana banjir selepas PPS SK Bukit Merah, yang turut menempatkan mangsa tanah runtuh, ditutup pada 9 malam tadi.

-Advertisement-

Di Manjung, PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai menempatkan 127 mangsa daripada 37 keluarga, manakala PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak menempatkan 74 mangsa daripada 22 keluarga.

Jumlah mangsa di daerah Larut, Matang dan Selama pula kekal 10 orang daripada empat keluarga yang ditempatkan di PPS SK Batu Hampar.

Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.18 meter, melebihi paras normal 8.68 meter.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut meramalkan hujan pada sebelah petang di semua daerah di Perak.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus meningkat kepada 151 orang daripada 42 keluarga setakat 9 pagi ini berbanding 135 orang daripada 43 keluarga pada petang semalam.

Portal Public InfoBanjir pula melaporkan paras air di stesen Kampung Bukit (F1), Setiu berada pada tahap waspada selepas melepasi paras 10.5 meter susulan hujan lebat malam tadi. – The Capital Post