KUALA NERUS, 25 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih dua pengiktirafan pada Persidangan dan Pameran Penilaian Impak Sosial dalam Ekonomi Membangun (SIAC) 2026.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, pengiktirafan itu merangkumi Anugerah Platinum bagi kategori Outstanding SIA Innovation Award menerusi pembangunan Sistem Penilaian Impak Sosial Pantas (SiRA).
Selain itu, universiti berkenaan turut menerima Anugerah Emas bagi kategori Excellence in Social Impact Assessment Education Award (Public University) menerusi Pusat Pengajian Persekitaran dan Kelestarian, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG).
Beliau berkata pembangunan SiRA mendapat sokongan pembiayaan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Geran Penyelidikan Program Padanan Industri (IMaP).
Menurutnya, SiRA merupakan inovasi digital berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang menggabungkan data sosioekonomi, alam sekitar dan infrastruktur bagi membantu proses saringan awal risiko sosial serta menilai kesesuaian tapak untuk cadangan pembangunan.
-Advertisement-
“Inovasi ini membantu pemaju, perunding dan agensi mengenal pasti taburan risiko secara spatial, menentukan kawasan yang memerlukan perhatian serta menyokong perancangan pembangunan berasaskan bukti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzli berkata pembangunan inovasi berkenaan turut memperlihatkan keberkesanan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan sektor swasta dalam menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat.
Beliau berkata pencapaian itu juga mencerminkan komitmen UniSZA untuk terus memperkukuh kecemerlangan akademik, khususnya dalam bidang pembangunan lestari dan penilaian impak sosial di Malaysia.
“Pencapaian ini mampu menjadi pemangkin kepada UniSZA untuk terus memperluas jaringan kolaborasi strategik di peringkat nasional dan antarabangsa ke arah memperkasa penyelidikan berimpak tinggi,” katanya. – The Capital Post