Tambang RTS Link Johor-Singapura Dijangka Diumum Januari 2027

Estimate Reading Time: 2 minutes

ISKANDAR PUTERI, 25 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kadar tambang rasmi perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dijangka diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Januari 2027, sebelum perkhidmatan itu memulakan operasi pada Februari tahun sama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kadar tambang berkenaan masih dalam peringkat perbincangan antara RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dengan kerajaan Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata laporan media pada Februari lalu pernah menyebut anggaran tambang antara SGD5 hingga SGD7 bagi setiap perjalanan, bersamaan kira-kira RM15.50 hingga RM21.70.

“Namun, kadar tambang rasmi dijangka diumumkan oleh MOT pada Januari 2027 sebelum perkhidmatan RTS Link memulakan operasi pada Februari 2027. Oleh itu, kadar tambang sehala atau pergi balik masih belum dimuktamadkan pada peringkat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) mengenai kadar tambang RTS Link pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal J. Kartiyaini (PH-Skudai) dan Baharudin mengenai langkah menangani kesesakan trafik, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan pelbagai intervensi bagi melancarkan aliran trafik serta memperkukuh jaringan pengangkutan awam di Johor Bahru menjelang operasi RTS Link.

Menurutnya, berdasarkan Indeks Kesesakan Trafik 2025, Johor Bahru berada pada kedudukan kelima dengan indeks kesesakan meningkat daripada 36.9 peratus pada 2024 kepada 39.5 peratus pada 2025.

Masa yang hilang ketika waktu puncak turut meningkat daripada anggaran 61 jam kepada 65 jam.

Beliau berkata kira-kira 400,000 rakyat Malaysia dianggarkan berulang-alik setiap hari melalui Tambak Johor untuk bekerja di Singapura.

“Kerajaan negeri memahami bahawa isu ini bukan sekadar tentang kelancaran trafik, tetapi turut menyentuh masa, kesejahteraan dan kehidupan harian rakyat. Sebab itu persediaan menghadapi pengoperasian RTS Link yang dijangka bermula pada Februari 2027 perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya.

-Advertisement-

Menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada penyelarasan pergerakan penumpang di sekitar Stesen RTS Bukit Chagar, termasuk penyediaan jambatan pejalan kaki bertingkat serta mengehadkan kemasukan kenderaan persendirian di Jalan Bukit Chagar bagi memberi laluan kepada bas pengantara.

Selain itu, jaringan pengangkutan awam akan diperkukuh menerusi persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan perkhidmatan komuter sektor selatan bagi laluan Paloh–Kulai–Kempas Baru ke JB Sentral dengan 10 perjalanan sehari, serta laluan Kempas Baru–Pasir Gudang dengan empat perjalanan sehari.

Usaha itu turut disokong perkhidmatan BAS.MY yang melibatkan 168 bas dan Bas Muafakat Johor dengan 39 bas.

Bagi penyuraian trafik jangka pendek, sistem lampu isyarat pintar telah dilaksanakan di 210 persimpangan, manakala laluan kontra sepanjang enam kilometer di Jalan Skudai yang mula beroperasi pada 13 Julai lalu menerima maklum balas positif.

Pelaksanaan sistem tidal flow bagi kenderaan perdagangan di Tambak Johor pula dijadual bermula pada 1 Disember ini.

Mohamad Fazli berkata bagi perancangan jangka panjang, kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada cadangan pembinaan sistem Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) sepanjang 36.2 kilometer yang merangkumi 22 stesen bagi jajaran Skudai dan Tebrau.

Kerajaan negeri juga merancang penambahbaikan enam koridor jalan raya utama di Greater Johor Bahru menerusi kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

Menurutnya, cadangan berkenaan merangkumi pembinaan susur baharu, laluan alternatif dan persimpangan bertingkat bagi meningkatkan kapasiti rangkaian jalan raya di kawasan Greater Johor Bahru.

Beliau berkata perancangan jangka panjang perlu mengambil kira perkembangan kawasan bandar serta keperluan penduduk bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan mampu memberi manfaat secara berterusan kepada rakyat. – The Capital Post