IPOH, 25 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak berkuasa mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis yang berulang kali melanggar larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Teh Kok Lim berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan PBT.
Beliau berkata penguatkuasaan dijalankan secara berperingkat, bermula dengan pengeluaran notis amaran sebelum tindakan kompaun dikenakan terhadap premis yang melakukan kesalahan.
“Bagi kes kesalahan berulang yang tegar, PBT boleh mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis tersebut.
“Satu garis panduan sedang dimuktamadkan agar tindakan pelaksanaan dan penguatkuasaan dapat diseragamkan di kesemua 15 PBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) mengenai langkah penguatkuasaan kerajaan negeri bagi memastikan peniaga mematuhi larangan penggunaan beg plastik yang berkuat kuasa sejak 1 September, pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
-Advertisement-
Kerajaan negeri tidak lagi membenarkan penjualan atau pemberian beg plastik sekali guna di beberapa kategori premis, termasuk pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya, kedai serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian, farmasi serta premis lain yang dilesenkan PBT.
Sementara itu, Teh berkata hasil semakan dan pemantauan pihak berkuasa mendapati tiada kilang haram yang mengeluarkan beg plastik dikesan beroperasi di Perak setakat ini.
Beliau berkata penggunaan beg plastik masih meluas dalam sektor komersial dan perindustrian kerana sifatnya yang praktikal, ringan, bersih serta menjimatkan kos.
“Beg plastik merupakan kaedah pembungkusan yang praktikal, ringan, bersih serta menjimatkan kos dan efisien bagi tujuan pembungkusan serta penghantaran barangan,” katanya. – The Capital Post