Keganasan Rumah Tangga Bukan Alasan Panas Baran

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Sikap panas baran, tekanan hidup atau pengaruh alkohol dan dadah tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan keganasan rumah tangga kerana pelaku sebenarnya sedar serta memilih untuk bertindak ganas terhadap pasangan masing-masing.

Pakar Perunding Kanan Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Sajaratulnisah Othman berkata, ramai pelaku sering menggunakan alasan kononnya mereka hilang kawalan akibat tekanan emosi atau sifat pemarah.

Bagaimanapun, beliau berkata alasan itu tidak boleh diterima kerana kebanyakan pelaku masih mampu mengawal tingkah laku dan kemarahan dalam situasi lain, termasuk ketika berhadapan majikan, rakan sekerja atau pihak berkuasa.

“Seseorang mungkin memang mempunyai sifat panas baran tetapi dia memilih kepada siapa kemarahan itu mahu dilepaskan. Tidak semestinya dia akan menunjukkan kemarahan kepada bos, rakan sekerja atau polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu podcast Listen: Dengar, Fahami, Bertindak bertajuk “Di Sebalik Trauma: Memahami Jiwa Keganasan Rumah Tangga” terbitan Bernama dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Wisma Bernama, di sini malam tadi.

Sajaratulnisah berkata keganasan rumah tangga lazimnya tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya boleh bermula dengan tingkah laku mengongkong dan mendominasi pasangan yang pada awalnya disalah anggap sebagai tanda mengambil berat.

Menurutnya, perlakuan itu boleh berkembang menjadi penderaan emosi dan fizikal seperti mengherdik, menolak serta menampar, sekali gus menyebabkan mangsa mengambil masa untuk menyedari bahawa mereka berada dalam hubungan tidak sihat.

“Mangsa juga cenderung memaafkan atau memperkecilkan perbuatan penderaan yang dialami, selain menyalahkan diri sendiri kerana menganggap tindakan atau tingkah laku mereka menjadi punca pasangan bertindak ganas,” katanya.

Sementara itu, seorang pemandiri keganasan rumah tangga yang dikenali sebagai Dahlia (bukan nama sebenar) berkongsi pengalaman berdepan penderaan sepanjang empat tahun perkahwinannya.

Dahlia pada awalnya menganggap perbuatan menolak dan pertengkaran sebagai perkara biasa dalam rumah tangga, malah pernah menyalahkan diri sendiri kerana merasakan sikapnya yang melawan menjadi punca bekas suaminya bertindak sedemikian.

Lebih mengecewakan, orang sekeliling turut menganggap Dahlia sebagai punca konflik, sekali gus meningkatkan rasa bersalah yang dipendamnya.

“Bila berlaku pergaduhan dan keganasan, saya akan lari dari rumah untuk menenangkan diri. Masa itu saya menyalahkan diri sendiri. Saya fikir sebab saya melawan, sebab itu berlaku macam itu,” katanya.

-Advertisement-

Bagaimanapun, keadaan semakin buruk selepas kelahiran anak sulungnya apabila Dahlia mengalami patah tulang hidung dan keretakan pada tangan kanan akibat keganasan bekas suaminya.

Beliau akhirnya mendapatkan bantuan menerusi Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di hospital sebelum dirujuk kepada Jabatan Kerja Sosial Perubatan dan menjalani sesi kaunseling.

Menurut Dahlia, kesedaran untuk keluar daripada hubungan tidak sihat itu semakin kuat apabila anak sulungnya mula menceritakan satu demi satu kejadian keganasan yang disaksikannya, termasuk ketika cuba meleraikan pergaduhan.

Berdasarkan pengalamannya, Dahlia menasihatkan mangsa supaya mendapatkan bantuan daripada individu yang boleh dipercayai sebagai langkah pertama untuk keluar daripada kitaran keganasan, termasuk membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di hospital.

“Paling penting sebenarnya, kita kena cari orang yang boleh dipercayai untuk bawa kita keluar,” katanya.

Dalam pada itu, Sajaratulnisah berkata perubahan tingkah laku pelaku hanya boleh berlaku sekiranya individu berkenaan mempunyai keinginan sendiri untuk berubah dan mendapatkan bantuan.

Beliau berkata kajian menunjukkan seseorang pelaku tidak akan berubah hanya kerana dipaksa oleh pasangan, mahkamah atau pihak lain.

“Untuk pelaku berubah, mesti daripada diri mereka sendiri. Mereka sendiri mesti mahu berubah. Kalau perubahan itu hanya kerana disuruh pasangan atau diarahkan mahkamah, kebanyakannya tidak berkekalan. Mereka mungkin berubah seketika, tetapi tidak semestinya berhenti daripada mendera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya tidak menormalisasikan keganasan rumah tangga dengan mengaitkannya semata-mata dengan sikap panas baran, sebaliknya memahami bahawa keganasan merupakan tingkah laku yang dipilih oleh pelaku terhadap mangsa.

Mangsa yang berdepan keganasan rumah tangga boleh mendapatkan maklumat dan sokongan menerusi Talian Kasih 15999 serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Women’s Aid Organisation (WAO) dan All Women’s Action Society (AWAM). – The Capital Post