KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Women’s Aid Organisation (WAO) meningkat kepada 1,759 kes pada 2025 berbanding 1,162 kes pada tahun sebelumnya, dengan trend penderaan kini turut melibatkan penyalahgunaan teknologi digital untuk mengawal dan mengintip pergerakan pasangan.
Pengarah Eksekutif WAO, Nazreen Nizam berkata peningkatan itu mencerminkan corak keganasan yang semakin membimbangkan, merangkumi penderaan psikologi, emosi dan seksual selain keganasan fizikal yang lebih mudah dikenal pasti.
Menurutnya, pihaknya turut menerima semakin banyak laporan berkaitan keganasan berasaskan gender melalui penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform dalam talian untuk mengesan pergerakan pasangan.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Podcast Listen yang disiarkan menerusi Facebook Bernama TV dan Bernama Radio malam tadi bagi membincangkan topik Cabaran Perlindungan, Sokongan Mangsa dan Tanggungjawab Masyarakat.
Nazreen turut menyatakan peningkatan kes penderaan dalam hubungan pasangan yang belum berkahwin, termasuk mereka yang sedang bercinta atau bertunang.
Golongan berkenaan bagaimanapun tidak mendapat perlindungan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Sehubungan itu, WAO yang ditubuhkan pada 1982 sedang memperjuangkan peluasan skop akta berkenaan bagi memastikan golongan terbabit turut mendapat perlindungan undang-undang.
Beliau berkata penderaan emosi dan psikologi sering tidak disedari masyarakat kerana tidak meninggalkan kesan fizikal, sekali gus menyukarkan mangsa untuk menceritakan pengalaman mereka dan mendapatkan kepercayaan orang sekeliling.
Keadaan itu boleh memberikan kesan serius terhadap kesihatan mental mangsa, malah ada yang berisiko mencederakan diri sendiri apabila merasakan tiada jalan keluar daripada situasi yang dihadapi.
Bagi membantu mangsa, WAO menyediakan perkhidmatan kaunseling menerusi kaunselor bertauliah serta sokongan pekerja sosial untuk membantu mereka menangani trauma dan merancang langkah seterusnya mengikut keperluan masing-masing.
KEBERGANTUNGAN KEWANGAN ANTARA HALANGAN MANGSA
Mengulas faktor yang menyebabkan wanita sukar meninggalkan hubungan tidak sihat, Nazreen berkata kebergantungan kewangan terhadap pasangan merupakan antara halangan utama, khususnya bagi mereka yang telah lama meninggalkan pekerjaan untuk menguruskan keluarga.
“Jadi kebanyakan wanita bila dia sudah bergantung dari segi kewangan dengan suami, dia akan rasa macam susah untuk dia keluar. Kita juga kena faham konsep keganasan rumah tangga ini berlaku sebab ada jurang kuasa dalam hubungan,” katanya.
Dalam membantu mangsa, WAO mengamalkan pendekatan berpusatkan mangsa dengan memberikan kebebasan kepada mereka untuk membuat keputusan sendiri, termasuk jika memilih untuk kembali ke rumah selepas mendapatkan perlindungan sementara.
-Advertisement-
Nazreen berkata mangsa boleh menghubungi semula WAO pada bila-bila masa dan pihaknya akan membantu menyediakan pelan keselamatan sekiranya mereka berdepan risiko penderaan berulang.
Selain menyediakan tempat perlindungan sementara untuk wanita dan anak-anak, WAO turut membantu mangsa mendapatkan rawatan perubatan, membuat laporan polis serta mengakses bantuan kebajikan dan zakat.
Pertubuhan itu juga melaksanakan program pemerkasaan ekonomi menerusi latihan kemahiran seperti jahitan dan pembuatan makanan bagi membantu mangsa menjana pendapatan serta membina kehidupan lebih berdikari.
SOKONGAN PETUGAS BARISAN HADAPAN PERLU DIPERKUKUH
Dalam perkembangan berkaitan, Nazreen berkata maklum balas sesetengah petugas barisan hadapan terhadap aduan keganasan rumah tangga masih perlu diperbaiki.
Beliau berkata terdapat dakwaan bahawa sesetengah mangsa dinasihatkan supaya pulang ke rumah kerana kes yang dilaporkan dianggap remeh.
Justeru, latihan berkaitan sensitiviti gender dan pengendalian kes keganasan rumah tangga perlu diperluas kepada petugas agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap aduan diberikan perhatian sewajarnya.
Nazreen turut menggesa kerajaan memperkukuh sokongan kewangan dan pemberian geran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan perlindungan, kaunseling serta bantuan pemulihan kepada mangsa.
Pada masa sama, masyarakat perlu memainkan peranan membantu mangsa secara berhati-hati, termasuk menghubungi mereka pada waktu yang selamat atau mendapatkan bantuan polis sekiranya mengesyaki berlaku keganasan serius.
“Dalam isu keganasan rumah tangga ini, kita memang kena jaga ‘tepi kain’ orang. Bukan dalam situasi orang itu balik pukul berapa, orang itu pakai baju apa, orang itu buat apa dalam kehidupan peribadi dia, itu kita tidak payah nak jaga tepi kain.
“Sebaliknya kalau kita tahu jiran-jiran kita, ada yang berdepan situasi keganasan sebab kita boleh dengar dan sebagainya, kita kena ambil tindakan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan mangsa atau individu yang memerlukan bantuan supaya menghubungi talian hotline WAO di 03-3000 8858 atau melalui WhatsApp dan SMS di 018-988 8058. – The Capital Post