COPENHAGEN, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Tiga kru maut selepas sebuah bot nelayan tenggelam di perairan luar pantai timur Iceland dalam kejadian yang berlaku ketika keadaan laut bergelora dan angin kencang pada malam Rabu.
Perdana Menteri Iceland, Kristrun Frostadottir berkata bot berkenaan mengalami masalah sebelum karam kira-kira 60 batu nautika (111 kilometer) dari pantai timur negara itu, menurut laporan penyiar Iceland, RUV.
Kesemua kru dilaporkan memakai sut keselamatan sebelum meninggalkan bot berkenaan.
RUV pada awalnya melaporkan bahawa kesemua 17 kru berjaya diselamatkan menggunakan helikopter selepas beberapa jam berada di dalam air.
-Advertisement-
Bagaimanapun, keadaan mereka pada ketika itu belum dapat dipastikan sebelum pihak berkuasa mengesahkan pada Khamis bahawa tiga daripada kru berkenaan meninggal dunia.
“Keadaan pada awal malam itu begitu genting sehingga tidak dapat dipastikan sama ada sesiapa pun akan terselamat,” kata Frostadottir pada sidang media, menurut RUV.
Punca sebenar kejadian bot nelayan itu karam masih belum diketahui. – The Capital Post