Pemuda Hidupkan Semula Ladang Serai Keluarga

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Kesukaran mendapatkan bekalan serai segar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19 kira-kira enam tahun lalu mendorong seorang pemuda menghidupkan semula ladang serai keluarga yang terbiar sejak 2017.

Muhammad Faizal Hafiz Shamsi, 32, yang bekerja di Bank Negara Malaysia, bukan sahaja meneruskan legasi ibu bapanya, malah turut memperkenalkan penyelidikan dan inovasi dalam penanaman serta pembungkusan serai bagi meningkatkan kualiti dan memanjangkan tempoh kesegarannya.

Usaha itu kini membuahkan hasil apabila perniagaan sampingannya mencatat nilai jualan melebihi puluhan ribu ringgit sebulan, sekali gus membuktikan potensi tanaman herba berkenaan sebagai sumber pendapatan.

Mengimbau permulaan usahanya, Faizal berkata idea untuk mengusahakan semula ladang milik keluarganya di Kapar, Selangor, tercetus apabila beliau yang ketika itu menetap di Cyberjaya sukar mendapatkan serai segar di kedai runcit mahupun pasar raya.

Keadaan itu mendorongnya memanfaatkan tempoh bekerja dari rumah ketika PKP pada Mac 2020 untuk menguruskan semula tanaman serai yang masih terdapat di ladang keluarganya seluas 18 ekar (7.2 hektar).

Ladang yang diusahakan ibu bapanya sejak 1980-an itu mula terbiar pada 2017 apabila kedua-duanya tidak lagi mampu menguruskannya atas faktor kesihatan.

Pada peringkat awal, Faizal menuai serai yang masih ada dan membawanya ke Cyberjaya untuk dijual secara kecil-kecilan dengan membuka but kereta di sekitar stesen minyak serta lokasi bersesuaian.

Beliau turut menggunakan Facebook Komuniti Cyberjaya bagi mempromosikan jualannya pada harga RM4 bagi setiap pek yang mengandungi 10 batang serai.

Sambutan pelanggan amat menggalakkan sehingga beliau berjaya menjual kira-kira 300 pek sehari selepas tiga bulan berniaga.

Peningkatan permintaan menyebabkan Faizal mengambil tiga anak muda di kawasan kejiranannya untuk membantu penghantaran, dengan bayaran antara RM60 hingga RM80 sehari.

Katanya, terdapat pelanggan yang pada mulanya membeli satu pek sebelum meningkatkan pembelian sehingga 20 pek seorang, manakala beliau ketika itu mempunyai kira-kira 30 pelanggan tetap.

PERLUAS PASARAN RUNCIT

Pengalaman menjual secara langsung kepada pelanggan membuka peluang kepada Faizal untuk mengembangkan perniagaan ke pasaran runcit, khususnya pasar raya sekitar Lembah Klang.

Idea itu tercetus selepas seorang pelanggan mencadangkan supaya beliau membekalkan serai ke pasar raya. Faizal kemudian menyediakan kertas cadangan bagi mendapatkan kelulusan pihak pengurusan premis berkenaan.

Menjelang penghujung 2020, produknya berjaya ditempatkan di sebuah pasar raya. Pada masa sama, beliau mula membangunkan identiti produk sendiri melalui reka bentuk logo, penjenamaan dan penambahbaikan pembungkusan.

Beliau turut mengambil empat pekerja bagi membantu pengurusan ladang supaya bekalan dapat memenuhi permintaan pasaran. Sebelum itu, operasi ladang hanya dibantu ibunya, Warti Judi, 75.

Pada awal 2022, Faizal memperluas pasaran dengan membekalkan serai ke lebih banyak pasar raya di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, bekalan dapat dikekalkan kerana tanaman sedia ada di ladang keluarganya boleh dituai dan ditanam semula secara berterusan.

PENYELIDIKAN DAN INOVASI

Di sebalik komitmen terhadap pekerjaan hakiki dan perniagaan, Faizal turut menyambung pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Pemprosesan (Makanan) di Universiti Putra Malaysia.

-Advertisement-

Pengajian itu dimanfaatkan bagi menambah pengetahuan dan mengaplikasikan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti produk, khususnya dari aspek pembungkusan dan tempoh kesegaran serai.

Beliau memulakan kajian sendiri pada 2022 bagi mengenal pasti bahan pembungkusan yang lebih sesuai berbanding penggunaan plastik biasa sebelum berjaya menghasilkan pembungkus dan kaedah pembungkusan khusus untuk serai pada awal 2023.

Hasil penambahbaikan itu membolehkan serai yang disimpan di dalam peti sejuk bertahan sehingga sebulan, sekali gus memudahkan pemasaran ke kawasan lebih jauh tanpa terlalu bimbang tentang kerosakan semasa pengedaran.

Faizal turut mengusahakan dua varieti serai, iaitu serai paha gajah yang bersaiz lebih besar dan serai paha ayam yang mempunyai aroma lebih harum serta sesuai digunakan dalam masakan.

Dari segi amalan pertanian, beliau memastikan tanaman bebas daripada penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia, selain mengitar semula sisa batang serta daun serai yang kurang berkualiti untuk dijadikan kompos.

Beliau turut menitikberatkan sistem saliran dan kebersihan ladang bagi mengurangkan risiko serangan perosak serta kerosakan tanaman akibat tanah yang terlalu tepu dengan air.

KEKALKAN LEGASI WAK JAH

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapanya, Faizal memilih nama “Wak Jah Farm” sebagai jenama produknya, mengambil nama panggilan ibunya yang cukup dikenali penduduk setempat sebagai pengusaha dan penjual serai.

Menurutnya, penggunaan nama itu bukan sekadar identiti perniagaan, tetapi turut melambangkan kesinambungan legasi keluarga yang kini diteruskannya sebagai generasi kedua.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata ladang berkenaan mempunyai nilai sentimental yang besar kerana hasil usaha ibu bapanya dalam perniagaan serai sejak 1980-an telah membantu membesarkan mereka serta membiayai pendidikan sehingga ke universiti.

Beliau masih mengingati kenangan zaman kanak-kanak ketika ibunya menggantung buaian pada pokok belimbing di kawasan ladang dan mendodoikannya sambil memotong serai.

Kenangan itu menjadi antara dorongan utama untuk menghidupkan semula ladang berkenaan dan memastikan usaha keluarganya tidak terhenti.

KONGSI ILMU DENGAN PELADANG LAIN

Selain mengusahakan ladang sendiri, Faizal turut membeli hasil serai daripada beberapa pengusaha ladang kontrak di sekitar Selangor, khususnya ketika musim perayaan bagi menampung peningkatan permintaan.

Beliau berkata permintaan lazimnya meningkat ketika Ramadan serta menjelang sambutan Aidilfitri dan Aidiladha, sekali gus memerlukan bekalan tambahan bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Selain pasar raya, produknya turut dipasarkan kepada kedai runcit, pemborong dan pelanggan individu di sekitar Lembah Klang.

Faizal juga aktif berkongsi ilmu serta pengalaman dengan peladang dan individu yang berminat menceburi bidang penanaman serai, termasuk menyediakan benih daripada pokok berkualiti kepada mereka yang baru memulakan tanaman.

Beliau percaya perkongsian ilmu dan pengalaman mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk menjadikan tanaman serai sebagai sumber pendapatan. – The Capital Post