KOTA KINABALU, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Komponen menara sementara Emergency Restoration System (ERS) tiba di lokasi menara penghantaran elektrik yang tumbang di Ranau awal pagi ini bagi membolehkan kerja pemulihan talian elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah dilaksanakan.
Sabah Electricity dalam kenyataan memaklumkan lori yang membawa kontena menara sementara ERS itu selamat tiba di lokasi menara penghantaran T313 pada 1.07 pagi.
“Sabah Electricity amat menghargai kesabaran anda dan segala kesulitan amat dikesali,” menurut kenyataan itu.
Syarikat berkenaan turut memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik serta menghargai kesabaran dan kerjasama pelanggan yang terjejas.
Pasukan teknikal Sabah Electricity kini giat menjalankan kerja-kerja persediaan sebelum pemasangan menara ERS dimulakan, dengan aspek keselamatan dan pematuhan prosedur kerja ditetapkan sebagai keutamaan.
-Advertisement-
Sabah Electricity turut mempergiat usaha bagi mempercepatkan pemulihan bekalan elektrik kepada pengguna susulan kejadian menara penghantaran T313 di Ranau yang tumbang semalam.
Insiden yang dikesan berlaku pada 6.04 pagi itu menyebabkan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan di lapan daerah dan menjejaskan seramai 153,599 pengguna berdaftar.
Orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427. – The Capital Post