KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Polis mengesahkan tiada sebarang serangan sebenar berlaku di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC), sebaliknya situasi kecemasan yang dilaporkan di lokasi berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan simulasi bagi menguji tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, latihan yang berlangsung pada malam tadi itu diadakan di Gas District Cooling Plant, KLCC dengan melibatkan beberapa senario kecemasan bagi menguji keupayaan anggota menangani insiden berisiko tinggi.
Beliau berkata latihan berkenaan bertujuan menilai keupayaan anggota bertindak pantas, mengawal kawasan serta mengurus keselamatan orang awam ketika berdepan situasi yang memerlukan tindakan segera.
Dalam simulasi itu, Ahmad Azwan bertindak sebagai Group Commander dengan menyelaras sumber manusia dan aset operasi bagi memastikan setiap tindakan di lapangan dilaksanakan secara teratur, pantas dan berkesan.
Latihan berkenaan turut melibatkan kerjasama antara Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan lima agensi lain, iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Tenaga Nasional Berhad.
-Advertisement-
Menurut Ahmad Azwan, kesepaduan tindakan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan sumber antara agensi merupakan elemen penting dalam memastikan setiap insiden dapat ditangani secara bersepadu dan sistematik.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mencetuskan kegusaran masyarakat.
Terdahulu, beberapa hantaran di media sosial mendakwa berlaku situasi kecemasan di KLCC dengan memaparkan gambar kenderaan pasukan penyelamat, termasuk jentera bomba dan ambulans di sekitar kawasan berkenaan. – The Capital Post