Musim peperiksaan tiba lagi. Ada yang menghabiskan masa berjam-jam menghadap buku, ada yang sanggup berjaga sehingga lewat malam dan ada juga yang menjadikan kopi sebagai teman setia ketika mengulang kaji pelajaran.
Bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), setiap minit terasa berharga. Dengan harapan untuk memperoleh keputusan cemerlang, masa banyak diperuntukkan untuk menghafal fakta, menjawab soalan latihan dan menghadiri kelas tambahan.
Namun, dalam kesibukan mengejar keputusan peperiksaan, pernahkah kita terfikir berapa banyak masa yang telah dikorbankan untuk menjaga kesihatan diri sendiri?
Pada 24 November 2026, Utusan Malaysia melaporkan bahawa tekanan emosi menjadi antara cabaran yang dihadapi calon SPM. Harapan keluarga, persaingan akademik dan kebimbangan terhadap masa depan boleh menyebabkan pelajar mengalami gangguan tidur, keresahan serta kehilangan motivasi.
Selain kesihatan mental, rutin belajar yang terlalu tertumpu kepada aktiviti duduk juga wajar diberikan perhatian. Menghabiskan masa yang panjang di meja belajar tanpa diselang-selikan dengan pergerakan fizikal boleh mendorong gaya hidup sedentari.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), golongan remaja berumur 5 hingga 17 tahun disarankan melakukan sekurang-kurangnya purata 60 minit aktiviti fizikal sederhana hingga lasak setiap hari. Aktiviti yang menguatkan otot dan tulang juga disarankan sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
Ini menunjukkan bahawa menjaga kesihatan bukan sekadar mendapatkan tidur yang mencukupi atau mengamalkan pemakanan seimbang, tetapi turut melibatkan usaha memastikan tubuh kekal aktif.
Persoalannya, adakah kita hanya akan mula menghargai kekuatan tubuh apabila usia semakin meningkat?
Salah satu isu kesihatan yang berkait dengan peningkatan usia ialah sarkopenia, iaitu kemerosotan jisim, kekuatan dan fungsi otot. Keadaan ini boleh menjejaskan kebolehan seseorang melakukan aktiviti harian seperti berjalan, bangun dari kerusi dan menaiki tangga.
Hakikatnya, penjagaan otot bukan sesuatu yang hanya perlu diberikan perhatian apabila seseorang mencapai usia emas. Membina tabiat aktif sejak muda merupakan antara usaha penting untuk mengekalkan kecergasan dan fungsi fizikal sepanjang kehidupan.
-Advertisement-
Kesedaran inilah yang dibawa menerusi MASIH.ABLETO, sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang berlangsung pada 27 Oktober 2026 di Wellness Hub Kuala Selangor, sebuah inisiatif di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Program ini menghimpunkan lebih 50 warga emas daripada Kelab Warga Emas Kuala Selangor menerusi aktiviti berkumpulan yang menekankan kepentingan kekal aktif dan menjaga kekuatan otot. Antara momen bermakna ialah sesi ikrar apabila para peserta menurunkan tandatangan sebagai simbol komitmen untuk terus menjaga kesihatan dan kekal aktif.
Melalui MASIH.ABLETO, masyarakat diingatkan bahawa kebolehan melakukan perkara sederhana seperti berjalan, mengangkat barang dan menguruskan diri sendiri merupakan keupayaan yang sangat bernilai.
Inisiatif ini turut menjadi sebahagian daripada gerakan ABLETO yang diteruskan menerusi ABLETO.EXPERIENCE, dengan pendekatan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam aktiviti dan pengalaman sebenar.
Akhirnya, SPM mungkin menjadi salah satu penentu perjalanan pendidikan seseorang, tetapi ia bukan penamat kepada kehidupan. Keputusan peperiksaan boleh membuka peluang untuk masa depan, namun kesihatan merupakan bekalan untuk terus menikmati setiap peluang tersebut.
Jadi, dalam usaha mengejar kecemerlangan, sampai bila kesihatan perlu menjadi taruhan? Kerana kejayaan bukan sekadar tentang sejauh mana kita mampu melangkah dalam pelajaran, tetapi juga sejauh mana tubuh kita mampu terus melangkah dalam kehidupan.
Ditulis Oleh Siti Adriana binti Adnan
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam dan Komunikasi ableto.
Program “MASIH.ABLETO”.
Boleh Dihubungi Melalui Alamat E-mel sitiadriana144@gmail.com
Pandangan yang dikemukakan adalah milik penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian The Capital Post.