PUTRAJAYA, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap seorang pengajar universiti yang menyamun seorang peniaga makanan ketika urusan penghantaran secara tunai semasa penerimaan (COD) pada tahun lepas.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, selepas menolak rayuan akhir Tuan Muhammad Shahrul Azlan Tuan Abdul Rahman, 33, untuk mengurangkan tempoh pemenjaraannya daripada tujuh kepada empat tahun.
Hakim Azman dalam penghakiman ringkas berkata hukuman sedia ada adalah wajar dan memadai, bukan sahaja sebagai pengajaran kepada perayu, malah kepada masyarakat supaya tidak terlibat dalam jenayah seumpama itu.
Beliau berkata mahkamah turut mengambil kira latar belakang perayu dan mangsa, selain kejadian berkenaan disaksikan oleh seorang kanak-kanak berusia enam tahun.
“Nasib baik hukuman yang dikenakan terhadap kamu adalah tujuh tahun. Pengalaman menjalani hukuman penjara akan memberikan kesedaran mengenai beratnya akibat perbuatan jenayah.
“Justeru, rayuan terhadap hukuman ditolak dan hukuman sedia ada memadai,” katanya kepada perayu yang kini sedang menjalani hukuman penjara.
Pada 29 Julai 2025, Mahkamah Sesyen Besut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan terhadap lelaki itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Perayu kemudian mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk mengurangkan hukuman, namun rayuannya ditolak pada 22 Januari lalu dan hukuman asal dikekalkan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 31 tahun dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika cuba melakukan perbuatan tersebut.
-Advertisement-
Kesalahan itu berlaku di Jalan Tembila, Kampung Raja, Jertih, pada 2.21 petang, 20 Julai 2025, mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa pergi ke lokasi kejadian untuk menghantar kuih yang ditempah oleh perayu dengan bayaran secara COD.
Mangsa tiba menggunakan sebuah kereta sebelum perayu menghampirinya dan memaklumkan bahawa pembayaran akan dibuat melalui paparan transaksi kod respons pantas (QR).
Mangsa kemudian menurunkan tingkap kereta dan menyerahkan kuih berkenaan kepada perayu. Bagaimanapun, keadaan bertukar menjadi pergelutan apabila lelaki itu mengacukan pisau dan cuba mencabut kunci kereta mangsa.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka hirisan pada kedua-dua pergelangan tangan sebelum perayu melarikan diri menggunakan sebuah kereta.
Kejadian tersebut turut disaksikan anak mangsa yang berusia enam tahun.
Pendakwaan dalam prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Mahmood, manakala Daniel Annamalai bertindak sebagai peguam bagi pihak perayu. – The Capital Post