KUALA LUMPUR, 27 NOVEMBER 2026 (The Capital Post) – Axiata Group Bhd (Axiata) kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM35.71 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2026, berbanding kerugian bersih RM27.35 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan telekomunikasi dan teknologi itu turut merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6.6 peratus kepada RM3.11 bilion berbanding RM2.92 bilion pada suku ketiga 2025.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Axiata memaklumkan bahawa berdasarkan kadar pertukaran mata wang malar, hasil kumpulan meningkat 13.2 peratus, didorong pertumbuhan semua syarikat operasi (OpCo) kecuali Linknet.
Keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 2.6 peratus atau 10 peratus berdasarkan kadar pertukaran mata wang malar kepada RM1.39 bilion, disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan hasil.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) merosot 30.3 peratus atau 18.5 peratus berdasarkan kadar pertukaran mata wang malar kepada RM239.3 juta.
Axiata menjelaskan penurunan itu terutama disebabkan peningkatan rosot nilai muhibah Linknet kepada RM366 juta pada suku ketiga 2026 berbanding RM213.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Dari segi prestasi syarikat operasi, anak syarikat majoriti Axiata di Bangladesh, Robi, mencatatkan hasil lebih tinggi sebanyak RM889 juta, manakala Smart merekodkan RM465 juta dan EDOTCO sebanyak RM659.3 juta.
Hasil ADA turut meningkat kepada RM400.6 juta, sementara Boost mencatatkan RM70.7 juta.
Sebaliknya, hasil Linknet merosot kepada RM158.4 juta dan Dialog menyusut kepada RM594.8 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, Axiata mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM352.03 juta, lebih rendah berbanding RM403.30 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat sedikit kepada RM8.78 bilion berbanding RM8.77 bilion sebelumnya.
-Advertisement-
PROSPEK PERTUMBUHAN
Mengulas prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, Axiata berkata pelan strategik Axiata28:Advancing Asia terus menjadi panduan bagi fasa pertumbuhan seterusnya, dengan tumpuan kepada portfolio perniagaan telekomunikasi dan teknologi yang menerajui pasaran.
Bagi portfolio telekomunikasi, kumpulan itu terus memperoleh manfaat daripada struktur pasaran yang semakin baik susulan proses penyatuan industri di Indonesia, Sri Lanka dan Malaysia.
Menurut Axiata, momentum pertumbuhan sejak awal tahun ini disokong oleh sinergi pascapenggabungan XLSMART, inisiatif pemulihan pasaran serta kecemerlangan operasi berterusan merentasi portfolio perniagaannya.
Kumpulan itu menjangkakan faktor berkenaan terus menyokong pertumbuhan keuntungan.
Dalam portfolio teknologi pula, Axiata meneruskan usaha pertumbuhan dan penciptaan nilai menerusi kerjasama strategik, inovasi digital serta pembangunan keupayaan berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Pengembangan ADA menerusi pengambilalihan Algonomy, selain kemajuan berterusan perkhidmatan kewangan digital Boost, turut dijangka menyokong peningkatan skala perniagaan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata kemajuan merentasi portfolio telekomunikasi dan teknologi, bersama kedudukan kewangan yang lebih kukuh, menyediakan asas lebih mantap untuk kumpulan merealisasikan aspirasi yang ditetapkan.
Beliau berkata cadangan transaksi EDOTCO adalah selaras dengan pendekatan berkenaan.
“Menerusi langkah pengurusan portfolio secara aktif dan penggunaan semula modal yang berdisiplin, kami memperkukuhkan lagi daya tahan kewangan Axiata sambil mengekalkan penglibatan dalam potensi pertumbuhan EDOTCO Malaysia pada masa depan,” katanya. – The Capital Post