PUTRAJAYA, 2 September 2026 (The Capital Post) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memperkukuh kerjasama strategik bagi memperluas usaha pencegahan serta pemulihan penyalahgunaan dadah, khususnya dalam komuniti FELDA.
Kerjasama itu diperkukuh menerusi kunjungan hormat Pengarah Besar FELDA, Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman bersama delegasi ke pejabat Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin bin Jusoh.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk kedua-dua agensi bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta meneroka inisiatif bersama yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.
-Advertisement-
AADK berkata, kerjasama rentas agensi penting dalam membina masyarakat yang lebih berdaya tahan dan prihatin, selain mewujudkan persekitaran komuniti yang sihat, selamat serta bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
Turut hadir Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Ahmad Syaarani Azulan; Pengarah Integriti FELDA, TPj. Mohd Anuar Ismail; Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan FELDA, Tuan Mahazir Elias serta Pengarah Integriti AADK, Tuan Ramli Ismail. – The Capital Post