PUTRAJAYA, 2 September 2026 (The Capital Post) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkukuh usaha memelihara keharmonian antara penganut agama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung pada 1 September lalu.
Mesyuarat yang menghimpunkan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman serta wakil NGO pelbagai agama itu dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha KPN, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Tuan Haji Muhyidin Aziz@Saari.
Perbincangan memberi tumpuan kepada empat teras strategik meliputi pengesanan awal dan penilaian risiko, penyelarasan maklumat serta tindakan, pencegahan dan penyelesaian isu, selain pembinaan daya tahan masyarakat.
Mesyuarat turut meneliti perkembangan isu 3R serta sentimen berkaitan rumah ibadat di media sosial bagi memperkukuh mekanisme tindakan awal secara bersepadu.
-Advertisement-
Sebanyak sembilan kertas dibincangkan, termasuk berkaitan pembangunan belia, pengukuhan institusi keluarga dalam era digital, penerbitan nilai bersama serta kerjasama keharmonian di peringkat nasional dan antarabangsa.
JAKIM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama bersama KPN dan semua pemegang taruh dalam memelihara kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan, di samping memastikan keamanan serta keharmonian masyarakat majmuk terus terpelihara. – The Capital Post