GOMBAK: Datuk M Nasir, 67, menganggap kehebatan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, 92, barangkali tidak dapat ditandingi mana-mana pemuzik termasuk di peringkat antarabangsa.
M Nasir atau nama sebenar, Mohamad Nasir Mohamed turut menyifatkan seniman legenda kelahiran Pulau Pinang itu adalah permata seni tanah air yang cukup berharga apabila berjaya melahirkan ramai penyanyi hebat.
“Kalau kita lihat, tiada sesiapa yang dapat berada pada tahap pencapaian arwah. Beliau berjaya pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Maksudnya selama tiga dekad beliau berada pada satu tahap yang tinggi.
“Tidak perlu cerita berapa ramai penyanyi yang beliau bantu naikkan nama. Satu dunia pun mungkin tidak dapat meraih sebagaimana pencapaiannya.