AirAsia IKHLAS berhasrat bantu 2,500 keluarga di Sabah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 27 Okt — IKHLAS, jenama perniagaan di bawah naungan airasia.com khusus untuk komuniti Muslim, melancarkan sumbangan digital ‘IKHLAS For Sabah’ sebagai sebahagian daripada perkhidmatan Sadaqah (sedekah) bagi membantu sekurang-kurangnya 2,500 keluarga yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di negeri itu.

-Advertisement-

Sumbangan digital itu bermula hari ini hingga 30 Nov dan orang ramai boleh menyumbang menerusi laman sesawang ikhlas.com, serta melalui aplikasi super airasia.com.

“Tidak diragukan lagi, Sabah adalah satu daripada negeri yang terjejas teruk akibat pandemik itu. Walaupun pelbagai kumpulan telah mula menyediakan bantuan kepada Sabah, masih ramai masyarakat yang belum dibantu dan kami ingin memainkan peranan kami dalam membantu seramai orang terutamanya golongan miskin bandar,” kata Ketua IKHLAS Ikhlas Kamarudin dalam kenyataan hari ini.

“Kami berhasrat untuk membantu sekurang-kurangnya 2,500 keluarga daripada pelbagai komuniti dengan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Sabah untuk mengenal pasti kumpulan yang memerlukan seperti ibu tunggal, orang kelainan upaya, golongan kurang bernasib baik dan petugas barisan hadapan daripada semua agama.

“Sumbangan yang dikumpul akan digunakan untuk membeli bekalan seperti keperluan asas daripada peniaga tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana di Sabah bagi membantu mereka terus bertahan semasa tempoh mencabar ini,” katanya.

-Advertisement-

Sejak April 2020, perkhidmatan Sadaqah IKHLAS telah mengumpul RM1.3 juta menerusi inisiatif sumbangan digital pertamanya ‘Give With IKHLAS’ yang memanfaatkan lebih 15,000 keluarga di seluruh negara.

IKHLAS adalah jenama perniagaan di bawah airasia.com khusus untuk komuniti Muslim di seluruh dunia dengan menyediakan akses untuk pelbagai amalan berasaskan keimanan. Ini termasuk kewajipan agama seperti umrah, korban, akikah dan pilihan gaya hidup berasaskan hukum syariah.

Untuk maklumat lanjut, kemas kini mengenai sumbangan itu dan inisiatif akan datang, sila layari laman sesawang ikhlas.com atau Instagram ikhlasdotcom dan Facebook ikhlasdotcom. -BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373