Allianz pilih Malaysia jadi pusat penghantaran serantau

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi menarik bagi penubuhan hab serantau dengan terkini, Allianz Asia Pacific (AZAP) melancarkan Pusat Penghantaran Serantau (RDC) yang berpangkalan di Kuala Lumpur secara rasmi.

-Advertisement-

Dengan RDC itu, AZAP akan mengubah perkhidmatan dan keupayaan teknologi maklumat (IT) menjadi model operasi standard dan berindustri bagi menyampaikan perkhidmatan pelanggan yang berada dalam kelasnya yang tersendiri, mempercepatkan inovasi dan mengatasi prestasi persaingan di rantau ini.

Distrukturkan bersama dengan Allianz Technology SE (AzT), bahagian teknologi kumpulan yang bertanggungjawab untuk perkhidmatan data dan digital, AZAP kini akan menempatkan semua kecekapan bekalan IT di rantau ini untuk meningkatkan kecekapan operasi.

RDC itu memulakan operasi di Menara Allianz Sentral di Kuala Lumpur dan ia akan menyediakan perkhidmatan IT kepada semua Entiti Operasi (OE) Allianz di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd, Sean Wang, berkata RDC yang ditubuhkan itu adalah langkah besar dalam usaha kumpulan untuk mencapai kecemerlangan teknologi.

Beliau berkata, pusat itu akan membolehkan pihaknya menyatukan amalan terbaik syarikat dan menambah baik penyampaian perkhidmatan IT bukan saja untuk Allianz Malaysia tetapi untuk semua entiti operasi di rantau Asia Tenggara.

Katanya, Malaysia dipilih kerana lokasi geografi strategiknya di rantau ini, di samping mempunyai tenaga kerja yang berbakat dengan kemahiran yang tepat untuk menjayakan projek itu.

“Hab IT serantau yang baharu ini dijangka akan mencipta 500 peluang pekerjaan berasaskan teknologi yang berkemahiran dan bergaji tinggi untuk rakyat Malaysia.

-Advertisement-

“Ini mencerminkan keyakinan Allianz dalam menjadikan Malaysia sebagai hab untuk inovasi dan kecemerlangan teknologi,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pusat berkenaan, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong.

Mengenai prospek industri insurans tempatan, Wang berkata, pemulihan masih perlahan, namun segmen insurans am mencatatkan momentum memberangsangkan disokong pertumbuhan kukuh dalam jumlah kenderaan baharu.

Beliau berkata, bagi prospek tahun depan, pihaknya berharap dengan pelaksanaan rancangan kerajaan akan terus merangsang ekonomi negara, sekali gus akan menyokong meningkatkan industri insurans tempatan.

Allianz Malaysia, anak syarikat Allianz SE mempunyai dua anak syarikat insurans iaitu Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd dan Allianz Life Insurance Malaysia Bhd.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373