LANGKAWI 6 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan di kawasan kepulauan menerusi pelancaran Ambulans Laut Pulau Tuba yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Jeti Royal Langkawi Yacht Club.
Bagi menjayakan inisiatif tersebut, KKM meluluskan peruntukan berjumlah RM1.45 juta untuk perolehan ambulans laut berkenaan yang telah mula beroperasi pada 20 Mei 2026. Bot ambulans sepanjang 48 kaki itu dibangunkan khusus bagi melaksanakan pemindahan pesakit melalui laluan laut dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rawatan kecemasan moden.
Kemudahan berkenaan diwujudkan bagi memenuhi keperluan penduduk Pulau Tuba yang berdepan antara tujuh hingga 10 kes kecemasan setiap bulan yang memerlukan pemindahan segera ke fasiliti kesihatan di Pulau Langkawi. Dengan adanya ambulans laut tersebut, proses membawa pesakit untuk mendapatkan rawatan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, selamat dan berkesan.
-Advertisement-
Menurut KKM, inisiatif itu turut meningkatkan kesiapsiagaan sistem respons kecemasan, sekali gus memastikan penduduk di kawasan pulau serta lokasi yang sukar diakses memperoleh rawatan pada waktu yang kritikal tanpa kelewatan.
Kementerian menegaskan komitmennya untuk terus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan saksama di seluruh negara, khususnya di kawasan terpencil. Langkah itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap rakyat menerima perkhidmatan kesihatan berkualiti tanpa mengira lokasi demi menjamin kesejahteraan masyarakat. – The Capital Post