Agong tunai haji, pesan Anwar jaga negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpesan kepada Perdana Menteri supaya menjaga negara sebelum berangkat menunaikan haji, hari ini.

Turut berangkat ke Tanah Suci, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Majlis keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara, dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara, Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

Sebelum berangkat, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara.

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, hari kemuncak haji pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun.

– BERNAMA

– BH

Comments (0)
Add Comment