Lori rempuh belakang treler, dua kelindan maut

Estimate Reading Time: < 1 minute

GOPENG: Dua kelindan lori warga Bangladesh maut apabila lori dinaiki melanggar belakang sebuah treler di KM 307.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata kejadian jam 5.55 pagi itu turut mengakibatkan lelaki warga tempatan yang memandu lori dinaiki mangsa, patah tangan.

Katanya, kejadian membabitkan lori tiga tan membawa muatan perabot dinaiki tiga mangsa itu melanggar belakang sebuah treler membawa tepung, membuatkan tiga mangsa itu tersepit.

“Pemandu lori lelaki tempatan berumur 36 tahun patah tangan manakala kelindan iaitu dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 29 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Pemandu treler iaitu lelaki tempatan berumur 58 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment