‘Nak balik rumah, ayah sakit’… bekas tukang cuci diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Estimate Reading Time: < 1 minute

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengarahkan seorang bekas tukang cuci yang berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki di dalam tandas sebuah sekolah di Kluang pada 2018, untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tertuduh, Mohamad Zahiruddin Abdul, 31, menjalani ujian berkenaan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Ia berikutan ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh beberapa kali mengeluarkan kata-kata ‘nak balik rumah, ayah sakit’, menyebabkan prosiding hari ini hampir tergendala seketika.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berumur tujuh tahun yang juga murid Tahun Satu ketika kejadian, di dalam tandas lelaki sebuah sekolah di Taman Sri Kluang antara jam 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari 4 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sejurus pertuduhan itu dibaca oleh jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir, manakala tertuduh tiada diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes, selain status laporan psikiatri dari Hospital Tampoi.

Berdasarkan laporan polis, kejadian berlaku apabila tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci di sekolah terbabit ketika itu membantu mangsa membuang air kecil di dalam tandas sebelum didakwa mengambil kesempatan melakukan amang seksual fizikal sehingga menyebabkan mangsa ketakutan lalu berlari ke kelas dalam keadaan menangis dan trauma.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebelum tertuduh berjaya ditahan pada jam 4 petang 9 April 2018.

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment