Pengilang diminta proses segera 140,000 tan stok padi, beras tempatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa pengilang untuk memproses dengan segera sebanyak 140,000 tan metrik padi dan beras tempatan yang ada untuk jualan di pasaran.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata tiga pendekatan diambil iaitu dengan melambakkannya di pasar raya, di pusat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan juga di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kerajaan juga akan meneruskan penjualan Agro MADANI bagi mengatasi masalah di pinggir dan luar bandar terutamanya.

“Selain itu, keputusan penurunan harga beras import antara RM2 hingga RM3 juga adalah inisiatif semua pihak yang terbabit dalam sektor ini yang prihatin dengan kos sara hidup dihadapi rakyat,” katanya dalam siaran langsung Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 1/2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Mac lalu memutuskan empat perkara untuk mengatasi isu kekurangan beras di pasaran.

Antara tindakan itu termasuk kerajaan mengarahkan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta merta.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment