Anak saudara Stacy ahli baharu The Gadys

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Tidak pernah mengabaikan kesengsaraan dan nasib rakyat Palestin yang sedang menderita akibat peperangan, kumpulan wanita, The Gadys berharap kemunculan lagu baharu tidak disensasikan.

-Advertisement-

The Gadys dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan perlu meneruskan perancangan demi kerjaya dan periuk nasi.

“Kami harap tidak ada yang mempertikaikan keputusan The Gadys muncul dengan lagu baharu dalam keadaan hari ini.

“Bila keluarkan lagu baharu bukanlah bermakna kami tak ambil berat dengan apa yang sedang berlaku di bumi Gaza. Kami turut bersedih dengan nasib rakyat mereka.

“Bagaimanapun, kami kena keluarkan lagu baharu demi kerjaya. Lagipun, The Gadys sudah lama berehat, jadi kami perlu buat sesuatu untuk kelangsungan kumpulan kami,” kata Aznie.

Lagu baharu berjudul Gagal Cinta ciptaan Ragu Lewi, Mage, Glowrush dan Pique dilancarkan, baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran, The Gady turut memperkenalkan anggota baharu yang menggantikan Nelissa Nizam dan Faa yang menarik diri, iaitu Thamiera Chan atau lebih dikenali sebagai Titu.

Aznie berkata, keputusan Nelissa dan Faa berundur diri daripada kumpulan yang ditubuhkan pada 2021 itu berlaku secara baik.

-Advertisement-

“Kami hormati keputusan Nelissa dan Faa mahu berundur diri untuk mencari rezeki.

“Mereka berundur secara baik, tiada sebarang perbalahan. Alhamdulillah, sehingga kini, kami masih berhubung, walaupun tidak lagi bersama kami,” katanya lagi.

Mengulas penyertaan Titu, Aznie berkata, pemilihannya dilakukan secara tertutup.

“Titu adalah anak saudara kepada penyanyi Stacy Anam memiliki keunikan tersendiri dan vokal sangat mantap.

“Kami berharap kehadiran Titu dapat melonjakkan nama kumpulan ini.

“Kami mengadakan sesi uji bakat secara tertutup dan hanya panggil 15 calon sahaja,” katanya.

– BeritaHarian